MB Johor tolak dasar k'jaan BN, kata Pemuda Gerakan
Pergerakan Pemuda Gerakan hari ini mempersoalkan mengapa Datuk Seri Abdul Ghani Othman masih bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya beliau menolak konsep Bangsa Malaysia.
Pergerakan Pemuda Gerakan hari ini mempersoalkan mengapa Datuk Seri Abdul Ghani Othman masih bersama kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya beliau menolak konsep Bangsa Malaysia.
"
Adalah mengecewakan apabila kita melihat pemimpin yang mewakili kerajaan BN menolak akar dan prinsip asas yang melahirkan BN," kata Timbalan Ketua pergerakan tersebut, Lim Si Pin (foto).
Menurutnya, BN ditubuhkan untuk mewakili rakyat pelbagai kaum di negara Malaysia yang berdaulat.
"Jika beliau (Abdul Ghani) tidak dapat melihat bagaimana Bangsa Malaysia boleh bekerjasama, maka kita mempersoalkan mengapa beliau masih lagi bersama kerajaan BN yang mewakili masyarakat pelbagai kaum," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam ucaptamanya di Konvensyen Umno Johor semalam, Abdul Ghani berkata konsep Bangsa Malaysia tidak boleh diterima kerana ia bermakna 'rojak' bangsa di negara ini.
Di samping itu, tegasnya, konsep itu juga melepasi kuasa perundangan dalam Perlembagaan dan boleh menjejaskan kestabilan politik negara.
Sehubungan itu, Pemuda Gerakan menyifatkan Abdul Ghani (foto bawah) mewarisi 'pemikiran mundur ke belakang' yang wujud di zaman penjajahan yang memisahkan kaum melalui dasar pecah dan perintah di Malaya ketika zaman British dahulu.
Tolak dasar kerajaan
"Tetapi sekarang kita telah mencapai kemerdekaan sejak 49 tahun yang lalu dan mengapa pemikiran sempit seperti itu masih wujud?" soal Si Pin yang juga anak kepada Presiden Gerakan, Datuk Lim Kheng Yaik.
Semalam, dalam reaksinya, Dr Lim berkata, penolakan konsep Bangsa Malaysia juga bermakna Umno Johor turut menolak dasar-dasar kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi berkata ini kerana Bangsa Malaysia merupakan dasar kerajaan.
Mengulas lanjut mengenainya, Sin Pin berkata, apabila kerajaan BN memperkenalkan 'Wawasan 2020' pada 1990, ia dipersetujui oleh semua parti komponennya dan antara aspirasinya ialah mewujudkan sebuah negara yang progresif yang dikenali sebagai Bangsa Malaysia.
Tegasnya lagi, konsep itu juga tidak menjadi satu ancaman kepada orang Melayu ataupun mencampuri hak istimewa untuk orang Melayu.
Mengenai gesaan Abdul Ghani (foto kiri) supaya sistem meritokrasi untuk kemasukan ke pusat pengajian tinggi dihentikan, Si Pin berkata Menteri Besar Johor itu telah salahfaham mengenai makna sebenarnya.
"Bagaimanakah sistem meritokrasi yang sebenarnya merupakan satu disriminasi dan penindasan? Ia boleh menjadi sedemikian sekiranya ia dimanipulasikan oleh mereka yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
"Kami percaya jika ia dilaksanakan secara adil, termasuk di kalangan masyarakat Melayu yang layak, lebih ramai orang Melayu yang akan menikmati faedah meritokrasi dan bukan rugi sepertimana yang dinyatakan oleh Abdul Ghani," tambahnya.
Pelbagai reaksi
Sementara itu, Bernama melaporkan, pendirian Umno Johor mengenai konsep Bangsa Malaysia tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan membawa maksud bangsa rojak, menerima pelbagai reaksi daripada beberapa anggota parti politik negara.
Mereka berpendapat daripada segi struktur bahasa, bangsa Malaysia berbeza dari segi terminologi tetapi membawa maksud yang sama iaitu kewujudan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa yang tinggal di negara ini.
Ketua Pemuda MCA Datuk Liow Tiong Lai berkata Abdul Ghani tidak perlu bimbang dengan konsep Bangsa Malaysia kerana semangat itu secara dasarnya perlu dalam perpaduan negara.
"Bangsa Malaysia adalah semangat yang ditonjolkan rakyat Malaysia berbilang kaum seperti dalam wawasan 2020, adalah aspirasi dan cita-cita yang nak dicapai supaya rakyat terus bersatu padu," katanya kepada pemberita di Bangunan Parlimen.
Liow berkata MCA sentiasa mempromosikan semangat bangsa Malaysia yang menjadi formula kejayaan perpaduan dan keharmonian rakyat negara ini.
Pandangan beliau mengenai perbezaan terminologi bahasa itu turut dipersetujui Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata: "Kita dilahirkan berlainan bangsa dan agama tetapi kita hidup sebagai Bangsa Malaysia. Ia cuma perbezaan dalam terminologi."
Masa depan negara
Ahli Parlimen Cameron Highlands yang juga ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC, K.Devamany berkata konsep Bangsa Malaysia boleh difahami sekiranya prinsip rukun negara yang selama ini menjadi kunci perpaduan rakyat Malaysia dihayati.
Beliau berkata konsep Bangsa Malaysia harus difikirkan secara teliti demi masa depan negara yang lebih terjamin.
Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang juga Timbalan Presiden Gerakan berkata beliau "hairan" dengan kenyataan Abdul Ghani itu sedangkan konsep tersebut terkandung dalam salah satu cabaran Wawasan 2020.
Katanya, konsep Bangsa Malaysia tidak sepatutnya menjadi pertikaian kerana ia telah mula dirancang dan digunakan sejak 1991 selaras dengan wawasan negara bagi menjadikan rakyat Malaysia mempunyai satu bangsa iaitu Bangsa Malaysia.
Bagaimanapun, Koh tidak tahu sama ada kenyataan itu adalah pandangan peribadi Abdul Ghani atau pandangan Umno Johor tetapi Gerakan menyokong konsep Bangsa Malaysia tersebut, katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini hari ini.

