mk-logo
Berita
Polis nafi laporan ibu tunggal ditahan di lokap
Diterbitkan:  Sep 14, 2021 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Polis menafikan laporan sebuah portal berita tempatan yang mendakwa seorang ibu tunggal yang dituduh di mahkamah kerana cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya mencederakan seorang kanak-kanak perempuan, ditahan di lokap walaupun telah membayar jaminan.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata laporan bertajuk ‘Ibu Tunggal Ditahan di Lokap Semalaman Walaupun Telah Bayar Jamin’ yang dikeluarkan portal berkenaan adalah tidak tepat serta mengelirukan kerana prosedur jamin mahkamah dalam kes itu tidak dipatuhi.

“Pihak polis akan mengambil tindakan susulan berkaitan dengan laporan yang dikeluarkan ini. Oleh itu, saya menasihatkan pengamal media supaya mendapatkan fakta yang tepat daripada pihak polis sebelum dihebah kepada masyarakat umum,” katanya dalam kenyataan di Ipoh hari ini.

Jumaat lepas, K Saroja Devi, 46, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan anjing peliharaannya mencederakan seorang kanak-kanak perempuan, Nurilmi Natrah Mohd Muzri, 12, di hadapan sebuah rumah di Lorong Satu, Kampung Larut Tin Sambungan di sIpoh kira-kira jam 5 petang, 10 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 25 Okt untuk menunggu hasil laporan perubatan mangsa sebelum menjatuhkan hukuman dan ibu tunggal itu dibenar diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS