story image
mk-logo
Berita
Kuota masjid: Mujahid saran jemaah paling disiplin diutamakan

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mujahid Yusof mencadangkan masjid memberi keutamaan kepada jemaah yang tiba dahulu, berbanding menyediakan kuota khas untuk kalangan VIP untuk sembahyang Jumaat.

Naib Presiden Amanah itu berkata, langkah terbabit perlu dibuat dalam suasana hari ini di mana kapasiti jemaah di masjid adalah terhad.

"Dalam keadaan biasa, tidak akan timbul isu (kuota), tetapi dalam keadaan norma baru ini perlu ada semakan kerana pada masa ini jemaah terhad, (maka) ruang perlu diberi kepada mereka yang paling berdisiplin, iaitu datang awal.

"Maknanya kalau sudah penuh (kapasiti), tutuplah. Kalau ada VIP datang lewat, tak dapatlah (sertai sembahyang jemaah). Dia juga perlu tunggu giliran. Saya nampak ini (penyelesaiannya) dalam masa sekarang," katanya kepada Malaysiakini.

Mujahid mengulas rasa tidak puas hati orang ramai terhadap isu yang tular baru-baru ini, membabitkan VIP dan orang awam yang mahu menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Putra di Putrajaya, minggu lalu.

Berdasarkan kepada penjelasan Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim, pihaknya memang memperuntukkan kuota khusus untuk VIP termasuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas - sebanyak 10 peratus - setiap kali sembahyang Jumaat.

Bagaimanapun untuk rekod, rasa tidak puas hati itu bukan sekadar melibatkan jumlah jemaah yang dibenarkan hadir tetapi turut melibatkan masa seseorang itu tiba di masjid serta kebenaran yang diberikan untuk VIP terbabit.

Mangulas lanjut,Mujahid yang juga ahli parlimen Parit Buntar menggesa saranannya diguna pakai bagi mengelakkan keadaan kurang selesa di kalangan orang Islam.

"Kalau kita tak berbuat demikian, ia akan jadi isu kerana orang ramai akan pertikaikan mereka datang awal dan beratur tapi tiba-tiba dia ini (VIP) datang lambat boleh masuk.

"Jadi, benda inilah yang menyebabkan keadaan yang kurang selesa ini dan kita pun faham dalam suasana pandemik ini, saya rasa hampir dua tahun kehadiran jemaah terpaksa dihadkan.

"Jadi, itu yang membuatkan mereka marah, malah ada yang dah datang dua kali, empat kali cuba datang solat tapi tak dapat. Tiba-tiba lihat ada (VIP) melintas dan terus dapat masuk, itu satu tanggapan yang kurang baik," katanya.

Video itu tular di media sosial dengan kebanyakannya mempertikai apa yang disifatkan mereka sebagai layanan berbeza terhadap jemaah.

Masjid Putra kemudian dalam satu kenyataan menjelaskan pihak pengurusan masjid telah memperuntukkan “sejumlah kuota” daripada 300 kuota yang ditetapkan, untuk “jemaah tetap” yang telah mendaftar lebih awal.

Jelas Masjid Putra, pihak masjid telah menasihatkan jemaah secara baik tentang pagar yang akan ditutup apabila kapasiti telah penuh, namun mereka tetap memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku pada Jumaat lalu.

Dalam perkembangan berkaitan Ikmal Zaidi malam tadi tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam susulan kontroversi membabitkan kuota VIP di Masjid Putra.

Dia juga mengakui memberikan reaksi yang tidak sewajarnya semasa menjelaskan keadaan tersebut sebelum ini.

"Dengan ini saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam yang mengetahui kes ini secara jauh dan dekat atas reaksi saya yang dilihat agak keterlaluan berhubung dengan video yang tular di media sosial Jumaat lalu.

"Dengan rendah hari saya ingin memohon maaf atas segala keterlanjuran tersebut dan berazam dan untuk memperbaiki keadaan terutamanya mengenai pelaksanaan SOP di Masjid Putra, Putrajaya," katanya melalui rakaman video di Facebook.

Sehubungan itu, Ikmal Zaidi mengajak semua orang terutama jemaah Masjid Putra untuk meneruskan aktiviti mengimarahkan masjid sama ada solat Jumaat mahupun solat fardu.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS