Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU Ombudsman M'sia akan dibentang tahun depan, kata PM
Diterbitkan:  Sep 15, 2021 9:50 AM
Dikemaskini: 1:51 AM

Kerajaan dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia tahun depan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam jawapan bertulis Parlimen semalam, perdana menteri memaklumkan penyediaan draf RUU itu kini di fasa akhir dan akan dibawa ke Kabinet selewat-lewatnya akhir tahun ini, sebelum membentangkannya di Parlimen.

Ombudsman Malaysia adalah badan bebas yang tidak berpihak bagi menyelesaikan aduan orang ramai terhadap agensi kerajaan.

"Oleh itu, Kerajaan komited untuk meneruskan penggubalan Akta Ombudsman Malaysia.

"RUU Ombudsman Malaysia adalah di peringkat terakhir penyediaan draf sebelum dimuktamadkan.

"RUU Ombudsman Malaysia dijangka akan dibentangkan pada tahun 2022 di Parlimen sebaik sahaja ia dibawa untuk persetujuan Jemaah Menteri selewat-lewatnya pada akhir tahun 2021," kata perdana menteri.

Jawapan bertulis Ismail Sabri sebagai menjawab soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa.

Penubuhan Ombudsman pertama kali dipersetujui oleh kabinet PH pada 2019, sebagai sebahagian daripada inisiatif reformasinya.

Menurut menteri undang-undang ketika itu Liew Vui Keong, ia akan berfungsi sebagai platform bagi masyarakat untuk menyalurkan aduan dan rungutan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan kerajaan berfungsi dengan efisien dan efektif.

"Penubuhan Ombudsman Malaysia bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat dan mengatasi defisit kepercayaan terhadap kredibiliti sistem penyampaian perkhidmatan awam," kata Liew ketika itu.

Lihat Komen
ADS