Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Disenarai hitam Taliban, pelarian bimbang nasib ibu bapa di Afghanistan

Shahrzad (bukan nama sebenar) adalah seorang pelarian Afghanistan yang telah tinggal di Malaysia sejak 2016.

Dahulunya dia bekerja di sebuah syarikat media di Kabul sebelum terpaksa meninggalkan tanah airnya setelah mendapat tahu dia disenarai hitam oleh Taliban.

"Saya menerbitkan kandungan berkenaan pendidikan, demokrasi dan hak wanita. Taliban tidak setuju dengan nilai-nilai ini di Afghanistan," katanya kepada Malaysiakini.

Bersama isteri dan anak-anaknya, Shahrzad memohon suaka di Malaysia. Ia satu perjalanan yang sukar dan dia tidak dapat membawa ibu bapanya bersama-sama.

Kini dia bimbang bagaimana untuk memastikan keselamatan mereka sebelum ditemui Taliban.

"Mereka sudah tinggalkan rumah dan pergi ke tempat lain. Mereka tak boleh keluar dari negara.

"Ibu bapa saya sakit, bapa saudara saya yang akan membeli barang keperluan mereka. Saya menghubungi mereka setiap hari dan meminta mereka berjumpa doktor.

"Mereka tak buat sebab takut," katanya lagi.

Taliban kini mentadbir kembali Afghanistan setelah mengambil alih kekuasaan pada 15 Ogos lalu.


Masa kian suntuk, keluarga di Afghanistan pertimbang bunuh diri untuk elak Taliban


Ada penduduk yang tidak sempat meninggalkan negara kini terpaksa bersembunyi, dengan anggota Taliban dilaporkan mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk mencari warga yang kritikal terhadap mereka.

Unsur ancaman memang telah menjadi sebahagian dalam kehidupan seharian di negara itu dan penguasaan Taliban dilihat tidak menjadikannya bertambah baik.

Adik beradik sempat lari

Dua beradik Shahrzad yang bekerja dengan kerajaan sebelum ini sempat keluar dari Afghanistan.

Seorang kini berada di Amerika Syarikat manakala seorang lagi di negara berdekatan.

Sejak sebulan lalu, telefon Shahrzad dibanjiri pesanan teks daripada keluarga, kawan dan bekas rakan sekerja di Afghanistan.

"Kawan saya sentiasa berhubung. Saya tanya keadaan mereka.

"Saya dengar cerita yang sukar dibayangkan," katanya lagi.

Salah seorang yang sentiasa berhubung dengannya adalah bekas rakan sekerja yang diburu Taliban.

"Dia lihat beberapa penjuang Taliban berlegar di sekitar rumahnya. Dia rasa takut dan beredar dari situ.

"Taliban kemudian mengetuk pintu rumahnya dan dapati dia tiada. Mereka desak isterinya untuk beritahu dia ada di mana.

"Bila isterinya cakap tak tahu, mereka tumbuk dia," dakwa Shahrzad.

Percubaan culik sebabkan dua mati

Satu lagi kisah tentang seorang perempuan yang tinggal di Ghazni, di tenggara Kabul. Dia menyara hidup dengan menjual barangan kraf sebelum pejuang Taliban ke rumahnya dan cuba menculik anak perempuannya, menurut Shahrzad.

"Datuk gadis itu masuk campur dan tak benarkannya, maka Taliban tembak dia. Mereka juga tembak mati gadis berusia 13 tahun itu sebelum beredar.

"Ibu bapa gadis itu lari dengan dengan bantuan jiran, kini tinggal di sebuah taman di Kabul.

"Jiran mengebumikan jenazah mereka. Saya bercakap dengan ibunya beberapa kali dan kami sedang cuba membawanya keluar dari Afghanistan," dakwanya lagi.

Perlu dimaklumkan yang Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kisah-kisah ini.

Hanya dapat lihat dari jauh

Shahrzad menyuarakan rasa kecewa kerana tidak dapat berbuat apa-apa berhubung situasi di tanah airnya.

"Mustahil. Kami sendiri, komuniti pelarian, berdepan masalah perundangan di sini.

"Tetapi kami semua bimbang. Kami bimbang dengan nyawa dan nasib orang di Afghanistan. Mereka adalah saudara senegara kami," katanya lagi.

Shahrzad adalah antara kira-kira 2,000 pelarian Afghanistan di Malaysia. Antara kesukaran yang dihadapi sebagai pelarian adalah tidak dibenarkan bekerja secara sah.

Mereka juga berdepan kesukaran dalam aspek pendidikan dan penjagaan kesihatan awam.

Sementara dia bersyukur kerana mendapat pekerjaan di sini, ia hanya cukup makan dan ramai lagi yang tidak bernasib baik sepertinya.

"Saya kenal ramai pelarian yang tak dapat bayar sewa dan diusir dari tempat tinggal.

"Saya bekerja tetapi tak cukup, jika saya dapat bayar sewa, saya perlu bimbang tentang barang keperluan; jika wang cukup untuk barang keperluan, saya bimbangkan pendidikan anak-anak pula."

Anak-anak pelarian di Malaysia tidak dapat mendaftar dalam sistem pendidikan rasmi dan biasanya belajar di pusat pembelajaran komuniti.

Masa depan wanita Afghanistan

Taliban sering dikritik berkenaan layanan mereka terhadap golongan wanita. Ketika pentadbiran sebelum ini, golongan itu tidak dibenarkan ke sekolah dan keluar tanpa ditemani penjaga lelaki.

Bagaimanapun Taliban kali ini berjanji akan menjaga hak wanita, antaranya dengan melantik mereka dalam Kabinet pada masa akan datang.

Taliban juga berkata akan membenarkan wanita bekerja dan mendapatkan pendidikan. Namun ramai yang meragui kenyataan itu dan merasakan persekitaran masih lagi bahaya buat mereka.


Taliban janji lantik wanita dalam kabinet


"Saya sangat bimbang wanita akan menjadi sasaran di universiti dan kerajaan yang sangat ekstrem dan kepuakan akan ditubuhkan di Afghanistan. Ini tidak membawa kebaikan kepada orang Afghanistan.

"Segala usaha sejak 20 tahun lalu telah tersekat dan kita melihat Afghanistan mengundur ke belakang," kata Shahrzad.

"Pesanan saya kepada warga Malaysia, Taliban tak tak layak untuk disokong. Ia sebuah kumpulan ekstremis agama yang tiada pengetahuan betul tentang Islam," katanya.

Perang antara Amerika Syarikat dan Taliban yang berlangsung selama kira-kira dua dekad telah meragut lebih 200,000 nyawa.

Kira-kira 2.2 juta warga Afghanistan berdaftar sebagai pelarian di seluruh dunia, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ia menjadikan warga negara itu sebagai populasi pelarian terbesar di dunia.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS