Awang Adek sahkan ekuiti bumiputera cecah 36 peratus
Pemilikan ekuiti bumiputera di Bursa Malaysia telah mencecah 36.64 peratus pada tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Pemilikan ekuiti bumiputera di Bursa Malaysia telah mencecah 36.64 peratus pada tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
Angka itu diperolehi berdasarkan jumlah saham dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di papan utama dan papan kedua Bursa Malaysia sehingga 31 Disember lalu. Bagaimanapun tidak dinyatakan samaada kiraaan tersebut berdasarkan nilai muka atau nilai pasaran saham-saham berkenaan.
Ketika mendedahkan angka tersebut semasa menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini, Awang Adek berkata nilai saham yang dikuasai bumiputera di bursa berkenaan ialah RM78.4 billion.
Pegangan saham bukan-bumiputera pula ialah sebanyak 46.91 peratus bernilai RM100.4 billion berbanding pegangan pelabur asing sebanyak 16.45 peratus atau RM35.2 billion.
Terdapat 646 dan 268 syarikat di papan utama dan papan kedua Bursa Malaysia sehingga hujung tahun lalu.
Menurut Awang Adek, daripada jumlah tersebut, 186 syarikat dikategorikan sebagai syarikat milik bumiputera.
Beliau menambah, sebanyak 717,935 syarikat telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat tahun lalu , dengan 172,568 atau 24 peratus diklasifikasikan sebagai syarikat bumiputera.
"Mana-mana syarikat yang 50.1 peratus sahamnya dimiliki oleh bumiputera dianggap syarikat bumiputera," jelasnya ketika menjawab soalan dari Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).
Razaleigh telah bertanya berapa jumlah syarikat yang dikuasai bumiputera (tidak termasuk syarikat yang dikuasai syarikat-syarikat amanah saham bumiputera) di Bursa Malaysia dan nilai sahamnya.
Sebelum ini kerajaan sering mendakwa pegangan 30 peratus ekuiti bumiputera yang disasarkan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih belum tercapai.
Statistik kerajaan mengatakan ekuiti pegangan bumiputera baru mencapai 18.9 peratus sahaja berdasarkan nilai muka saham dalam 600,000 syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat.
Bagaimanapun kajian yang dilakukan oleh Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (Asli) dan Universiti Malaya (UM) mendedahkan sasaran DEB itu telah tercapai.
Kajian Asli itu telah menimbulkan perbahasan umum berhubung kredibiliti statistik rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan serta methodologinya.
Ekoran kontroversi hasil kajian itu, salah seorang pengarahnya, Dr Lim Teck Ghee teleh meletak jawatan kerana mempertahankan hasil kajiannya.
Menjawab soalan tambahan dari Wan Junaidi Jaafar (BN-Santubong) berhubung methodologi kiraan kerajaan itu, Awang Adek mengulangi bahawa kaedah yang digunakan oleh kerajaan adalah lebih tepat dan menyeluruh.
"Kajian kerajaan meliputi 717,935 syarikat yang berdaftar. Jika kami hanya memberi tumpuan pada syarikat yang tersenarai di pasaran saham, ia hanya beberapa ribu buah sahaja,"jelasnya.
Awang Adek menambah, sesiapa sahaja boleh menjalankan kajian dengan kaedah mereka sendiri tetapi kaedah yang digunakan kerajaan dari dulu hingga sekarang adalah menyeluruh dan adil serta menggambarkan keadaan ekonomi negara yang sebenarnya.
Perbahasan mengenai isu ini turut menarik minat Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor). Beliau mengemukakan soalan tambahan yang meminta pandangan timbalan menteri berhubung hasil kajian UM and Asli itu.
Awang Adek menjawab dengan mendakwa beliau tidak pernah membaca hasil kajian kedua-dua pihak berkenaan, oleh itu tidak dapat memutuskan samaada hasil penyelidikan itu boleh diterima atau tidak.
Ketika ditemui media di lobi Parlimen kemudiannya, beliau sekali lagi mempertahankan methodologi yang digunakan oleh kerajaan dengan menyatakan kaedah itu dibuat berdasarkan nasihat dan garis panduan pemimpin Bank Dunia serta cendiakawan antarabangsa.
Ditanya bila kerajaan akan mendedahkan methodologi kiraannya, Awang Adek berkata, jawapannya di Dewan Rakyat hari ini adalah sebahagian daripada cara kerajaan mendedahkan methodologi berkenaan. Berita asal

