Puteri Umno bahas isu Mat Rempit, bahan lucah
Isnin depan, persidangan Umno 2006 akan membuka tirai dengan perasmian mesyuarat pergerakan Puteri Umno pada sebelah malamnya oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Isnin depan, persidangan Umno 2006 akan membuka tirai dengan perasmian mesyuarat pergerakan Puteri Umno pada sebelah malamnya oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Esoknya, seperti biasanya, pergerakan itu akan memulakan perbahasannya meliputi pelbagai isu. Namun apakah isu-isu hangatnya kali ini?
Antara yang dijangka mendapat perhatian utama para pembahas ialah isu sosial mencakupi soal Mat Rempit, penyalagunaan dadah, alkohol, pergaulan bebas serta bahan lucah yang disiarkan di akhbar arus perdana.
"Ini adalah isu lama, isu yang sama seperti tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya," kata wakil Puteri Umno Terengganu, Hidayati Baharuddin yang akan membahaskan usul itu dalam perhimpunan kali ini.
Bagaimanapun katanya, ia perlu dibangkitkan juga kerana gejala tersebut semakin berleluasa dan gagal ditangani dengan baik.
"Masalah ini semakin merebak ke seluruh negara, baik di bandar mahupun di kawasan kampung dan tanah-tanah rancangan Felda dan Felcra.
"Mungkin kita tidak sedar masalah sosial yang berlaku di kampung dan kawasan Felda ia semakin teruk dan tidak terkawal," katanya yang juga Ketua Puteri Umno bahagian Kemaman.
Beliau mempersoalkan keberkesanan tindakan pihak berkuasa untuk membanteras ancaman gejala sosial ini terhadap generasi muda itu.
"Tidak guna bercakap berdegar-degar jika tiada tindakan dan hasil yang baik," tambahnya.
Hidayati menambah, usul sosial yang dibawa oleh Puteri Umno Terengganu itu akan dibahaskan oleh 14 perwakilan dari seluruh negara.
Wakil Puteri Perak, Satariah Mohamad yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Lenggong pula berkata, masalah sosial yang berlaku di negara ini perlu dibanteras segera kerana ia berada pada tahap yang membimbangkan.
"Mat Rempit, pergaulan bebas, filem lucah, dadah dan alkohol berlaku di mana-mana sahaja di negara ini dan pelakunya turut mambabitkan pelajar.
"Oleh itu penguatkuasaan perlu dilakukan juga di kawasan perkampungan dan tanah rancangan dengan majoritinya orang Melayu," katanya.
Beliau berkata, jika lambat bertindak, lama kelamaan masalah sosial semakin sukar dibendung dan ini boleh memberi ancaman baru kepada negara.
Namun begitu di celah-celah pelbagai isu yang akan diperkatakan oleh Puteri Umno serta sayap-sayap lain parti itu, timbul satu persoalan besar, adakah itu Tun Dr Mahathir Mohamad akan turut dibangkitkan?
Adakah para perwakilan akan tampil mengkritik atau menyokong bekas Presiden Umno itu bagi mempertahankan Presiden mereka, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi?

