Bekas Adun Jemoreng meninggal dunia
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jemoreng Abu Seman Jahwi, 64, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Sibu, pada kira-kira 5 pagi tadi akibat komplikasi sakit jantung.
Isteri Allahyarham, Dayang Normaliza Awang Tambi berkata Abu Seman yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg sebelum itu dibawa ke hospital tersebut untuk rawatan kerana demam panas dan mengadu sakit dada.
Beliau turut menyifatkan Allahyarham suaminya yang meninggalkan empat anak perempuan dan seorang cucu sebagai seorang yang amat memahami, suka menolong, senang dibawa berbicara, penyayang serta periang.
Katanya jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid An-Nur dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang, di sini selepas solat Jumaat.
Allahyarham Abu Seman merupakan Adun pertama kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng sejak mula dipertandingkan pada 2006 namun tidak mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 untuk memberi laluan kepada bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya.
- Bernama

