Pembunuhan model: Penganalisa ditahan reman
Seorang penganalisa politik terkenal ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut berhubung kes pembunuhan seorang model warga Mongolia.
Seorang penganalisa politik terkenal ditahan reman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut berhubung kes pembunuhan seorang model warga Mongolia.
Perintah reman terhadap penganalisa berusia 46 tahun ini dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.
Menurut laporan media, model berusia 28 tahun itu, yang dikenali sebagai Altantuya Sharibu, @ Aminah Abdullah, dipercayai ditembak dan badannya diletupkan dengan bahan letupan.
Kelmarin, polis menemui cebisan mayat wanita Mongolia itu yang berselerak berdekatan Empangan Tasik Subang di Puncak Alam.
Turut ditemui ialah kesan terbakar dipercayai akibat letupan di kawasan berhampiran empangan Tasik Subang, kira-kira 2km dari jalan utama ke Kuala Selangor.
Turut ditahan berhubung kes pembunuhan tersebut ialah tiga anggota polis seorang cif inspektor, detektif wanita dan anggota Unit Tindakan Khas (UTK).
Mereka kini ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan kes pembunuhan tersebut. Difahamkan, tahanan remah bagi cif inspektor dan detektif wanita itu dilanjutkan hingga Isnin ini.
Rawatan perubatan
Menurut akhbar the Star , Altantuya, yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun, datang ke Malaysia pada 6 Oktober lalu bersama sepupunya untuk menemui penganalisa politik tersebut, yang didakwa adalah suaminya.
Dia dilaporkan pergi ke rumah penganalisa tersebut di Bukit Damansara di Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi anaknya itu yang memerlukan rawatan perubatan.
Adik perempuan serta sepupunya, melalui bantuan Kedutaan Mongolia di Bangkok, kemudiannya membuat aduan polis apabila Altantuya hilang sejak 19 Oktober lalu.
Penganalisa tersebut yang dikenali mempunyai kaitan politik yang kuat, ditahan di pejabatnya di Kuala Lumpur semalam.
Kumpulan pemikir yang diketuai penganalisa lulusan Universiti di London itu, menjalankan penyelidikan dan menerbitkan laporan mengenai politik, ekonomi, pertahanan serta hubungan antarabangsa. Berita asal

