Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cabutan khas 22 kali: Bukan dibuat pihak PAS, kata Razman
Diterbitkan:  Sep 21, 2021 7:14 PM
Dikemaskini: Sep 23, 2021 4:07 AM

Seorang pemimpin kanan PAS hari ini menggesa ahli parti itu agar kekal tenang di sebalik kecaman sesetengah pihak berhubung kebenaran diberi kerajaan pusat kepada syarikat judi melakukan 22 cabutan khas bagi tahun ini.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berkata keputusan membenarkan pertambahan cabutan khas sehingga menjadi 22 kali setahun itu bukan dibuat partinya.

“Saya percaya kelulusan ini bukan dibuat oleh pihak PAS kerana PAS tidak berkuasa penuh dalam kerajaan,” katanya seperti dipetik Malaysiapost hari ini.

Semalam Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengesahkan kerajaan memberi kebenaran kepada semua syarikat nombor ramalan untuk melaksanakan 22 cabutan khas sepanjang 2021.

Tengku Zafrul berkata demikian di Dewan Rakyat sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar.

Kadar kekerapan 22 kali setahun itu diberikan kerajaan BN sebelum gabungan itu jatuh dalam PRU ke-14 pada Mei 2018. Apabila Pakatan Harapan menjadi kerajaan, kekerapan itu diturunkan menjadi 11 kali pada 2019 dan hanya lapan tahun berikutnya.

Razman yang juga bekas bendahari agung PAS menjelaskan dia berpendapat kegiatan judi itu bukanlah untuk orang Islam.

“Sekarang ini kita ahli-ahli PAS dan orang Islam perlu menjaga diri kita serta masyarakat Islam khususnya supaya tidak melanggar larangan Allah SWT.

“Nombor ramalan ini hanya untuk orang bukan Islam, maka kita orang Islam ada halal dan haram… jadi kita orang Islam jaga orang Islam,” katanya.

Lihat Komen
ADS