Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fatwa Perlis: Mak nyah, transgender haram masuk masjid ketika 'kecelaruan jantina'
Diterbitkan:  Sep 22, 2021 11:10 AM
Dikemaskini: 5:24 AM

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis menetapkan golongan lelaki menyerupai wanita, seperti mak nyah atau transgender, diharamkan daripada memasuki masjid ketika "dalam kecelaruan jantina".

Ia merupakan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-53 / 2021, pada 23 hingga 24 Jun lalu yang disiarkan laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis semalam.

Menurut kenyataan bagi menjelaskan fatwa itu, pengharaman tersebut kerana kehadiran golongan berkenaan boleh mengganggu suasana ibadah di masjid.

“Solat jemaah golongan ini hendaklah berdasarkan jantinanya yang sebenar dan mereka diharamkan memasuki masjid dalam keadaan kecelaruan jantina, kerana boleh mengganggu suasana ibadah di masjid," menurut fatwa itu.

Golongan yang dikenali sebagai ‘mukhannath’ itu juga dilarang daripada mengerjakan haji dan umrah kerana boleh menimbulkan fitnah.

Menurut penjelasan fatwa itu, perbuatan sengaja meniru jantina berbeza (tasyabbuh) sama ada "dari segi pertuturan, tingkah laku, perbuatan atau berpakaian tanpa mempunyai keperluan yang dibenarkan syarak" adalah haram dan termasuk di dalam dosa besar.

Namun, hukum itu tidak terpakai untuk penyerupaan yang tidak disengajakan, seperti sifat lembut pada lelaki sejak asal dan bukan dibuat-buat.

"Golongan ini dipanggil mukhannath khalqi iaitu seorang yang mempunyai sifat keperempuanan yang tidak disengajakan. Demikian juga wanita yang mempunyai sifat lelaki sejak asal seperti suara yang garau. Golongan ini dimaafkan selagi mana ia bukan disengajakan," menurut kenyataan itu lagi.

Mukhannath bermaksud lelaki yang menyerupai wanita.

Fatwa tersebut merangkumi kalangan mak nyah, pengkid, tomboi dan juga transgender bagi kedua-dua jantina.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis juga menetapkan lelaki daripada golongan ini boleh menjadi wali dengan syarat dia tampil dengan perwatakan lelaki ketika proses perwalian.

Hukum berkhalwat (berdua-duaan di tempat terpencil) dengan golongan itu pula adalah diharamkan jika boleh menimbulkan fitnah atau mencemarkan nama baik seseorang, tetapi hukumnya menjadi sama seperti berkhalwat dengan sama jantina jika tidak menimbulkan fitnah.

Jenazah golongan berkenaan juga harus diuruskan berdasarkan jantina yang sebenar.

“Pihak pengurusan jenazah memilih mereka yang sesuai untuk mengendalikan jenazah bagi mengelakkan fitnah,” kata kenyataan itu.

Berhubung orientasi seks pula, majlis fatwa menetapkan hukum tersebut tidak terpakai untuk mereka yang memiliki perasaan seks kepada golongan sejenis tanpa sengaja, namun tidak melakukan apa-apa perbuatan yang mencanggahi syarak.

“[...] adalah dimaafkan bahkan jika dia bersabar menahan dirinya dari melakukan perbuatan yang haram, dia mendapat pahala yang besar," kata kenyataan itu lagi.

Lihat Komen
ADS