mk-logo
Berita
Gaji minimum semasa boleh disemak cara berperingkat - Wahid Omar
Diterbitkan:  Sep 22, 2021 7:54 AM
Dikemaskini: 9:39 AM

Gaji minimum bulanan semasa negara iaitu RM1,200 (US$283) boleh disemak semula dan dinaikkan kerana kerajaan berkemampuan untuk menampung kenaikan itu, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Abdul Wahid yang kini merupakan pengerusi Bursa Malaysia Bhd berkata ini dapat dilakukan secara berperingkat dalam jangka waktu tertentu untuk memberi masa yang cukup kepada perniagaan merancang dengan sewajarnya.

Ini juga boleh menggalakkan mereka mempertingkatkan automasi serta memperbaik proses mereka dan seterusnya mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk pekerja tempatan, kata beliau.

“Penting bagi semua majikan untuk memastikan pekerja mereka diberi imbuhan yang cukup dan disediakan kemudahan yang baik selain persekitaran kerja yang selamat dan kondusif.

"Saya rasa sebenarnya ada ruang untuk kenaikan gaji dari masa ke masa, tetapi apa yang penting bagi kerajaan adalah menetapkan sasaran jangka panjang atau jangka pertengahan," katanya pada sidang media secara maya di luar majlis Sidang Kemuncak APAC 2021 di Kuala Lumpur hari ini.

Gaji minimum kali terakhir disemak pada 1 Feb, 2020, dengan kenaikan RM100.

Dalam pada itu, Abdul Wahid mengharapkan agar perniagaan mengambil inisiatif untuk menawarkan imbuhan yang setimpal untuk pekerja mereka dan bukannya menunggu kerajaan mengumumkan dasar baharu mengenai gaji minimum.

- Bernama

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini