Ketua Pemuda Merbok selar pemimpin kaki bodek
Sewaktu ramai pemimpin Pemuda Umno berebut-rebut menyatakan sokongan padu kepada pemimpin tertinggi parti dan kerajaan, seorang ketua pemuda dari satu bahagian di Kedah menongkah arus dengan mengkritik kegiatan-kegiatan "membodek berlebihan" itu.
Sewaktu ramai pemimpin Pemuda Umno berebut-rebut menyatakan sokongan padu kepada pemimpin tertinggi parti dan kerajaan, seorang ketua pemuda dari satu bahagian di Kedah menongkah arus dengan mengkritik kegiatan-kegiatan "membodek berlebihan" itu.
Ketua Pemuda Umno Merbok, Abdul Karim Ali berkata, tindakan membodek pemimpin untuk mencapai kepentingan politik peribadi seperti yang berlaku sekarang sebenarnya bertentangan dengan prinsip perjuangan parti dan Pemuda Umno.
"Lebih buruk lagi pemimpin ini bukan sahaja mengamalkan kerja membodek tetapi juga menunjukkan sikap kurang ajar dan tidak hormat pada bekas pemimpin negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Ada antara tindakan mereka ini juga berlawanan dengan prosedur kerana mengaku bercakap bagi pihak negeri, sedangkan konsensus tidak diperolehi melalui mesyuarat yang sahih seperti yang berlaku di Kedah," katanya kepada mStar Online hari ini.
Beliau mempersoalkan kesahihan kenyataan yang dibuat Ketua Pemuda Kedah, Mohd Rawi Abdul Hamid akhir bulan lalu mengenai gesaan memecat Dr Mahathir dari Umno.
Katanya apakah hak Mohd Rawi untuk mengeluarkan kenyataan itu dengan mengaku ia adalah pendirian pergerakan peringkat negeri sedangkan isu itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat.
"Saya tidak takut dihentam perwakilan lain pada perhimpunan agung minggu depan kerana pendirian saya jelas. Saya berpegang pada prinsip perjuangan dan dasar menghormati pemimpin, yang sekarang atau yang lepas.
"Saya berani mengkritik mereka yang terlalu membodek ketua ini kerana mereka tidak menghormati prinsip bermusyawarah.
Agenda peribadi
"Mereka juga gagal menjawab dengan jelas dan berasas segala isu yang dibangkitkan Dr Mahathir kerana terlalu ingin menjaga kepentingan dan agenda peribadi," jelasnya.
Sambil menyifatkan pemimpin yang kerap membuat kenyataan menghentam bekas pemimpin negara itu sebagai "lebih kuah daripada isi", Abdul Karim berkata cara paling berkesan menghadapi krisis yang timbul berikutan kritikan Dr Mahathir ialah dengan menjawabnya secara jelas dan terperinci dan tidak dengan membuat kenyataan menghina beliau.
Perkembangan dalam pergerakan itu akhir-akhir ini, menurut Abdul Karim, menunjukkan ia seolah-olah sudah tersasar daripada landasan perjuangan asal dalam menegakkan perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air.
"Komen-komen bersifat peribadi yang didakwa mewakili Pemuda yang menghentam Dr Mahathir menggambarkan pemimpin Pemuda kurang ajar dan tidak menghormati orang tua yang telah banyak berjasa pada negara dan orang Melayu," tegasnya.
Pemuda Umno, katanya, sepatutnya bertindak sebagai badan check and balance kepada kerajaan dan bukan menyokong membabi buta segala tindakan yang tidak menguntungkan orang Melayu dan negara.
Beliau mengungkit bagaimana kepemimpinan Pemuda di zaman Datuk Syed Jaafar Albar, Datuk Harun Idris berjaya bertindak sebagai kumpulan pendesak yang berpengaruh dalam memperjuangkan agenda parti tanpa mengendahkan kepentingan diri.
Abdul Karim seterusnya meminta kepimpinan Pemuda agar mengenal pasti punca kemelut yang berlaku sekarang dan mengambil langkah tegas menyelesaikannya melalui saluran parti.
"Selagi kemelut ini tidak diatasi, selagi itulah ahli akar Umbi akan terus keliru dan berpuak-puak. Ini boleh membawa kepada perpecahan dan kehancuran Umno," katanya.

