Johor bawa usul bahasa ke perhimpunan agung
Umno Johor akan membentang usul mengkaji semula penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar subjek Matematik dan Sains di sekolah rendah dalam Perhimpunan Agung Umno minggu depan.
Umno Johor akan membentang usul mengkaji semula penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar subjek Matematik dan Sains di sekolah rendah dalam Perhimpunan Agung Umno minggu depan.
Ketua Umno Bahagian Segamat, Datuk Othman Jais berkata, ia adalah selaras dengan resolusi yang diluluskan oleh Konvensyen Umno Johor, Isnin lalu.
"Usul supaya mengkaji semula penggunaan Bahasa Inggeris itu telah diluluskan sebuat suara dalam konvesyen tersebut.
"Oleh itu Umno Johor akan membawa usul tersebut untuk dibahaskan dalam perhimpunan agung parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang bermula Isnin ini," katanya.
Beliau berkata, usul lain ialah mengenai projek pembangunan Johor Selatan (SJER) dan usul politik serta usul agama.
Othman berkata, Umno Johor berpendapat belum terlambat bagi kerajaan terutama Kementerian Pelajaran kembali menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar untuk kedua-dua subjek tersebut.
"Bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek Matematik dan Sains baru lima tahun dan belum terlambat untuk berpatah balik," ujarnya.
Rugikan pelajar Melayu
Beliau berkata, lebih baik ia dibatalkan sekarang daripada berterusan berpuluh tahun sedangkan ia tidak memberi faedah kepada pelajar.
Menurutnya, kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan pelajar sekolah rendah tidak boleh menerima Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar subjek Matematik dan Sains.
"Kesimpulannya ia banyak merugikan pelajar Melayu sendiri terutama yang di kawasan kampung-kampung," katanya lagi.
Sementara itu, ketua Puteri Umno Kulai Hasspalela Mohd Hassan berkata, penggunaan Bahasa Inggeris sebagai pengantar Subjek Matematik dan Sains menyusahkan pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar.
Katanya, orang Melayu yang tinggal di luar bandar tidak mampu menyediakan wang dan kemudahan yang mencukupi untuk pembelajaran anak-anak mereka.
"Ini berbanding dengan kaum Cina yang boleh menghantar anak mereka ke kelas tambahan selain membeli bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris," katanya.
Beliau berkata, jika dasar ini diteruskan pelajar Melayu akan ketinggalan dan tidak dapat bersaing dengan pelajar kaum lain di pusat-pusat pengajian tinggi.

