Bilangan umat Islam di Malaysia yang didakwa murtad telah sengaja diperbesar-besarkan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Mohd Zin berkata keadaannya adalah "tidak menggerunkan".

Abdullah menteri yang bertangungjawab terhadap halehwal agama berkata sebahagian besar mereka yang murtad atau mahu menukar agama adalah mereka yang baru berbuat demikian dan pihak berkuasa akan berusaha menanganinya.

"(Kes murtad di Malaysia) bukanlah satu masalah. Kita telah tahu (keadaannya) dan saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mengenainya. Keadaan di Malaysia adalah terkawal," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, dakwaan bahawa 'ratusan ribu' umat Islam telah murtad merupakan khabar angin yang berpunca daripada penyebar agama Kristian dan 'musuh-musuh Islam'.

Menurutnya, khabar angin seumpama itu selalunya disebarkan melalui Internet atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Saya tidak tahu jumlah sebenarnya, tetapi angka 100,000 atau 125,000 atau 250,000 adalah yang diperolehi daripada Internet. Sumber-sumbernya adalah mubaligh Kristian di Barat dan musuh-musuh Islam," tambahnya.

Abdullah memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan satu program Lembaga Tabung Haji di Kuala Lumpur petang ini.

Berkumpul di gereja

Beliau juga ditanya mengenai kejadian di Ipoh, Perak di mana ratusan umat Islam berkumpul di luar gereja Our Lady of Lourdes ekoran penyebaran SMS yang mendakwa 600 pelajar Melayu akan dibaptiskan di gereja itu.

Maklumat dalam SMS yang tersebar luas itu yang memetik Muft Perak, didapati tidak benar kerana apa yang berlangsung di situ adalah majlis baptis 110 kanak-kanak keturunan India.

Abdullah enggan mengulas mengenai kejadian tersebut, tetapi menggesa orang ramai supaya membiarkan pihak polis menyiasatnya.

Semalam, polis berkata, pihaknya telah memanggil lima orang untuk memberi kenyataan berhubung kes SMS tersebut dan akan memanggil beberapa orang lagi, termasuk Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Ketua Polis Perak, Datuk Abdul Aziz Bulat dilaporkan berkata Harussani bukanlah suspek tetapi dipanggil kerana namanya adalah antara yang disebut dalam SMS tersebut.

Manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga dilaporkan berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan digunakan terhadpa mereka yang merupakan sumber asal SMS tersebut.

Februari lalu, Harussani mendakwa, 250,000 umat Islam (100,000 daripadanya orang Melayu) telah menjadi murtad, manakala 100,000 lagi memohon untuk berbuat demikian, Beliau bagaimanapun tidak membuktikan dakwaannya itu. Berita asal