Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan teruskan rayuan isu kerakyatan anak lahir luar negara
Diterbitkan:  Sep 24, 2021 7:18 PM
Dikemaskini: 11:27 AM

Kabinet akan meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, berkata keputusan itu diambil bagi mengelak kerajaan dikenakan tindakan menghina mahkamah dan pada masa yang sama mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan dengan itu, katanya, jemaah menteri sudah meminta peguam negara membawa perkara berkaitan dengan isu kewarganegaraan terbabit kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong dalam waktu terdekat.

"Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan dua keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada anak yang lahir di luar negara hasil perkahwinan wanita warganegara Malaysia dengan pasangan warganegara asing.

"Terdapat dua keputusan mahkamah yang berbeza, iaitu kes Suriani Kempe dan Enam Lagi lawan Kerajaan Malaysia serta kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed lawan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Dua Lagi mengenai pentafsiran 'bapa' dalam Jadual Kedua Bahagian II seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan media.

Hamzah berkata, dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang diputuskan pada 21 Mei lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyebelahi kerajaan, manakala bagi kes Suriani Kempe dan Enam Lagi, tidak menyebelahi kerajaan.

Rayuan kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed akan dibicarakan pada bulan November ini.

"Setelah mengambil kira keputusan penghakiman yang berbeza dalam kedua-dua kes tersebut dan prosiding mahkamah dalam kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang masih berjalan di peringkat Mahkamah Rayuan, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan (stay of execution) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Suriani Kempe & 6 Lagi," katanya.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing, berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir memutuskan perkataan ‘bapa’ dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Bagaimanapun pada 13 Sept lepas, kerajaan memutuskan untuk mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Lihat Komen
ADS