Persatuan Tekstil India dan Kedai Runcit (Mita) mengulangi gesaan supaya kerajaan mempertimbangkan semula pembekuan pekerja asing di beberapa sektor perkhidmatan.

Setiausahanya, R Maheswary berkata, dasar pembekuan yang dikuatkuasa sejak tahun 2013 itu menjejaskan perniagaan usahawan India khususnya di sektor tekstil.

"Selepas penguatkuasaan PKP, sektor tekstil mengalami isu pengurangan pekerja selepas kebanyakan pekerja kami pulang ke negara asal mereka.

"Kami masih tidak dapat membuka perniagaan kerana kekurangan pekerja. Perniagaan kami berdasarkan musim. Perayaan Deepavali dah dekat. Namun, kami masih tidak dapat membuka perniagaan kerana kekurangan pekerja.

"Maka kami sekali lagi meminta kerajaan agar membenarkan pengambilan pekerja asing," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini membekukan pengambilan pekerja asing sekurang-kurangnya enam sub sektor seperti industri tekstil, tukang emas, gunting rambut, kedai runcit, perniagaan barang lusuh, pengedaran surat khabar dibekukan daripada mengambil pekerja asing.

Sementara itu, Maheswary berkata rakyat Malaysia kurang menunjukkan minat bekerja di sektor tekstil.

"Mereka menganggap bekerja di sektor tekstil sebagai tidak setaraf dengan kelayakan pendidikan mereka.

"Satu lagi perkara adalah industri tekstil merupakan perniagaan tradisional yang memerlukan pekerja yang memahami industri tersebut.

"Pekerja asing khususnya dari India adalah pilihan terbaik. Harap kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil maklum kesusahan kami," katanya.