Lagi kesilapan EPU: Perak diperuntuk RM1.3b beli senjata
Kerana kesilapan tajuk dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), Perak telah diberi peruntukan RM1.3 bilion untuk pembelian senjata.
Kerana kesilapan tajuk dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), Perak telah diberi peruntukan RM1.3 bilion untuk pembelian senjata.
Ini merupakan "kesilapan" kedua Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dalam memberi peruntukan kepada Perak.
"Itu bukan perbelanjaan untuk Perak tetapi untuk negara tetapi dimasukkan ke bawah tajuk Perak," kata Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.
Pada 23 September lalu, Tajol Rosli mengumumkan peruntukan RM795 juta diterima oleh Perak untuk projek landasan berkembar antara Padang Rengas dan Changkat Jering yang sebenarnya telah dibatalkan.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, selepas perkara itu dibangkitkan, peruntukan itu telah dikurangkan kepada RM494 juta untuk pelaksanaan projek-projek Kementerian Pengangkutan.
"Jadi kita nak minta Perdana Menteri peruntukan RM494 juta di bawah tajuk Kementerian Pengangkutan, kalau tidak boleh dibelanjakan oleh kementerian itu, boleh diubah kepada kementerian-kementerian lain," katanya kepada pemberita di majlis jamuan Aidilfitri anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Baru, Datuk Hamdi Abu Bakar malam tadi.
Landasan berkembar
Tajol Rosli menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya Selasa lalu bahawa EPU telah diminta menghalusi cadangan swasta untuk melaksanakan landasan berkembar dari Ipoh ke Padang Besar.
Katanya,pelaksanaan projek landasan berkembar itu akan dapat membantu membangunkan wilayah koridor utara meliputi Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Projek itu adalah cadangan Malaysia Mining Corporation dan Gamuda Berhad.
Kedua-dua syarikat itu sebelum ini dilaporkan pernah ditawarkan untuk membina landasan berkembar berelektrik bernilai RM14.5 bilion meliputi Ipoh ke Padang Besar dan Seremban ke Johor Bahru tetapi projek itu dibekukan pada Disember 2003.
April lalu, Kementerian Pengangkutan mencadangkan projek itu dikaji semula terutamanya yang meliputi utara Semenanjung.
Laluan landasan berkembar dari Rawang ke Ipoh bernilai RM4.6 billion yang kini dalam pembinaan akan siap tahun depan.

