Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gantung parlimen: Mahkamah tangguh keputusan rayuan Anwar

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari menangguhkan keputusan dalam rayuan Anwar Ibrahim terhadap keengganan Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada beliau bagi mencabar nasihat bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.

Panel tiga hakim diketuai Has Zanah Mehat membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar dan Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy bagi pihak Jabatan Peguam Negara pada prosiding yang dikendalikan secara maya menerusi aplikasi Zoom.

"Kami berpendapat bahawa hujah yang dikemukakan amat substantif, kami mungkin tidak dapat memutuskan rayuan ini hari ini. Isu substantif juga turut dibangkitkan dalam dua lagi rayuan daripada Hassan Abdul Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang) serta Datuk Seri Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Pulai) dan kami sepatutnya memberikan keputusan kami pada 30 Sept ini.

"Namun melihat kepada rayuan ini, saya berpendapat bahawa kami perlu menimbangkannya bersama dengan dua lagi rayuan kerana fakta latar belakangnya yang lebih kurang sama. Ia juga melibatkan isu Ordinan Darurat dan nasihat YDPA. Jadi, kami akan memutuskan kesemua rayuan pada tarikh yang sama," kata Has Zanah yang bersidang bersama-sama Vazeer Alam Mydin Meera dan Ahmad Zaidi Ibrahim.

Panel itu menetapkan esok sebagai pengurusan kes secara dalam talian bagi menentukan tarikh untuk memutuskan ketiga-tiga rayuan.

Pada 22 April lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran yang dikemukakan Anwar bagi memulakan semakan kehakiman bagi mencabar nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung persidangan Parlimen semasa perintah darurat.

Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) telah menolak permohonan Anwar atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu berdasarkan Perkara 150 (6) dan 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, memfailkan permohonan itu pada 25 Jan lepas dan menamakan Muhyiddin serta kerajaan sebagai responden.

Antara lain, beliau memohon deklarasi bahawa keputusan Kabinet yang diterajui Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah bagi memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen, adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Terdahulu, Ramkarpal berhujah bahawa kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional sebelum ini boleh bergantung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi pandemik Covid-19.

"PKP serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah memadai untuk mengawal pandemik itu berbanding menasihati YDPA untuk mengisytiharkan darurat.

"Keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin dan Kabinetnya untuk menasihati YDPA adalah tidak masuk akal serta tidak rasional," katanya.

Narkunavathy pula berhujah bahawa berdasarkan Hansard Parlimen mengenai pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan Perkara 150 (6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan bertarikh 9 April 1981, adalah jelas bahawa hasrat Parlimen adalah untuk mengecualikan semakan kehakiman bagi keputusan mengisytiharkan darurat dan Ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat.

"Alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika membentangkan rang undang-undang itu ialah bagi mengelak maklumat penting didengar di mahkamah dalam situasi yang menyaksikan tiada tindakan segera atau berkesan diambil. Maklumat sedemikian, jika didedahkan, mungkin menyebabkan negara menjadi huru-hara dan boleh mengakibatkan kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa mereka yang tidak bersalah.

"Berdasarkan Hansard itu, hasrat badan perundangan adalah jelas. Pemasukan Perkara 150 (6) dan (8) bertujuan menutup pintu mahkamah daripada sebarang cabaran perundangan semasa darurat dan proklamasi darurat oleh YDPA," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS