Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akhbar PAS siar permohonan maaf wartawannya pada Mujahid
Diterbitkan:  Sep 30, 2021 1:08 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Penulis artikel yang terlibat dalam kes saman fitnah oleh Mujahid Yusof, tampil membuat permohonan maaf kepada bekas menteri agama pada era Pakatan Harapan (PH) itu.

Penulis berkenaan yang juga seorang wartawan, Aziz Muda, membuat permohonan maaf yang disiarkan Harakhdaily semalam, berhubung artikel-artikel berkenaan usahawan kosmetik Nur Sajat, yang pernah tersiar di Harakahdaily dan akhbar Harakah.

Artikel berkaitan ialah artikel bertajuk “Sajat: Mujahid dan K’rajaan PH patut disalahkan” yang disiarkan Harakahdaily pada 7 Februari 2020, serta artikel bertajuk “Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH” di Harakah versi cetak bertarikh 10 hingga 13 Februari 2020.

Ini selepas kes saman fitnah Mujahid terhadap Harakah berhubung isu Sajat yang didakwa memakai telekung dan berpakaian seperti wanita sewaktu menunaikan umrah, selesai melalui proses mediasi pada 20 September.

Dalam permohonan maaf itu, Aziz berkata, artikel-artikel berkenaan, antara lain bermaksud menyampaikan teguran kepada kepemimpinan kerajaan PH termasuk Mujahid bahawa isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) - termasuk Sajat - perlu ditangani dengan betul dan berkesan.

Mujahid Yusof

Tindakan lebih utama adalah menerusi penguatkuasaan undang-undang secara serius, bukan semata-mata melalui kaedah dakwah walaupun berterusan seperti yang telah dilakukan Mujahid melalui konsep “Rahmatan Lil Alamin” yang diperkenalkannya.

Pun begitu, katanya, dia tidak mempunyai sebarang niat jahat untuk menjatuhkan maruah, mengaibkan ataupun memfitnah Mujahid dengan penerbitan artikel-artikel tersebut, apatah lagi dia kenal Mujahid secara peribadi dan tahu akan usahanya dalam bidang dakwah.

“Pun begitu, saya sedar bahawa kandungan artikel-artikel tersebut mungkin boleh membawa maksud dan pemahaman yang berbeza kepada para pembaca terutamanya kepada YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof akibat dari gaya penulisan dan pilihan perkataan yang digunakan.

“Saya menyedari dan mengakui bahawa:

i) YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof tidak mempunyai kaitan sama sekali dengan tindakan Nur Sajat yang bertelekung ketika menunaikan umrah di Makkah;

ii) YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof tidak pernah melarang pihak berwajib dan orang ramai daripada melakukan serbuan dan tangkapan ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti LGBT dan perzinaan; dan

iii) YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof tidak pernah membenarkan dan/atau menyokong amalan LGBT untuk dipraktiskan di Malaysia.”

“Oleh yang demikian, saya dengan seikhlas hati ingin memohon maaf kepada YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof sekiranya artikel-artikel tersebut mengguris perasaan dan/atau mengaibkan nama YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof.

“Saya juga telah meminta pihak Harakah dan Harakahdaily untuk menarik balik penyiaran artikel-artikel tersebut (sekiranya masih disiarkan) dan supaya tidak lagi mengguna pakai dan membuat rujukan kepada artikel-artikel tersebut di masa hadapan,” katanya lagi.

Permohonan maaf secara bertulis oleh Aziz selaku defendan pertama itu kepada Mujahid, merupakan sebahagian penyelesaian kes yang dipersetujui, selain menarik balik artikel-artikel berkaitan.

Namun, terma-terma penyelesaian lain yang terkandung di dalam penghakiman persetujuan itu tidak dapat didedahkan, menurut peguam Mujahid.

Lihat Komen
ADS