Citigroup: Malaysia merudum dalam peta pelaburan global
Kedudukan Malaysia dalam peta pelaburan dunia akan terus meleset jika pelbagai langkah termasuk menghentikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak dilakukan segera, kata sebuah firma kewangan terkemuka dunia.
Kedudukan Malaysia dalam peta pelaburan dunia akan terus meleset jika pelbagai langkah termasuk menghentikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak dilakukan segera, kata sebuah firma kewangan terkemuka dunia.
Laporan terbaru firma kewangan Citigroup menyifatkan ekonomi Malaysia kini berada dalam keadaan suram berbanding dengan 10 tahun lepas di sebalik dakwaan para pemimpin kerajaan bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan baik.
Menurut laporan tersebut, "Kedudukan Malaysia dalam radar pelaburan global telah jatuh dengan mendadak samaada diukur dari aspek pelaburan terus asing ( FDI), modal pasaran saham, atau jumlah perdagangan.
Citigroup menyarakan beberapa langkah untuk membendung kemerosotan tersebut, antaranya membetulkan segala kelemahan DEB bagi mengurangkan kesan buruknya kepada pasaran dan memperkenalkan had tempoh bagi pelaksanaan dasar yang sudah ketinggalan zaman itu.
DEB adalah dasar serampang dua mata yang diperkenalkan pada era pemerintahanAllahyarham Tun Razak Hussein bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Salah satu agenda utamanya ialah meningkatkan penguasaan korporat bumiputera di dalam negara kepada 30 peratus.
Pelaksanaan dasar ini telah diperbahaskan dengan hebat kebelakangan ini kerana kajian menun jukkan sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera itu telah tercapai.
Ekonomi lembab
Laporan Citigroup bertajuk 'Malaysia: Mengelakkan peminggiran dan meningkatkan kembali keyakinan pelabur ' diterbitkan di bawah siri penerbitan firma itu di bawah topik 'Pandangan makro Asia'.
Salinan laporan itu yang dikeluarkan dua minggu lalu telah disebarkan ke seluruh dunia dan salinannya turut diserahkan kepada malaysiakini. Firma yang berpusat di New York itu mempunyai operasi perniagaan di lebih 100 negara. Salah satu daripada syarikatnya ialah bank antarabangsa, Citibank.
Laporan tersebut membanding iklim ekonomi Malaysia hari ini dengan suasana pada 10 tahun lalu di mana kemasukan modal asing sangat besar dan pertumbuhan ekonomi amat tinggi.
Pada tahun 1995, Malaysia menduduki tangga keenam dalam senarai distinasi pelaburan paling menarik Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dengan modal pasaran sahamnya di tempat kedua tertinggi di Asia, selepas Hong Kong.
Menurut laporan tersebut, jumlah dagangan dan pelaburan swasta merupakan 36 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) edan konomi negara tumbuh padar kadar 9 peratus setahun.
"Ketika itu cita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan serantau, hub IT serta pusat penerbangan dan perkapalan seperti mampu dicapai hingga menggugat kedudukan negara-negara jiran," kata laporan tersebut.
Bagaimanapun 10 tahun kemudian dari aspek FDI, kedudukan Malaysia merudum daripada tangga keenam ke tempat ke-62 dan jumlah modal pasaran sahamnya jatuh daripada tempat kedua terbesar di Asia ke tangga keenam.
"Malah Indonesia yang secara tradisinya tidak memikat pelabur luar telah berjaya menarik lebih banyak modal asing berbanding Malaysia pada tahun 2005," kata laporan itu lagi.
Laporan firma itu juga menunjukkan nilai perdagangan Malaysia hanya tinggal dua perlima sahaja daripada nilai tahun 1996 manakala nilai pelaburan swasta kini hanya 12 peratus daripada GDP dan semakin lembab.
Keyakinan pelabur
" Singapura yang penduduknya kurang satu perlima penduduk Malaysia kini mempunyai GDP yang sama banyak dengan negara ini. Banyak agenda besar telah ditangguh atau dikecilkan di bawah dasar kerajaan yang semakin terkawal dan lembab," kata laporan itu.
Laporan itu juga menyarankan beberapa langkah termasuk memperbaiki DEB bagi mengembalikan keyakinan pelabur terhadap negara ini dan meningkatkan daya saing.
"Matlamat DEB boleh diterima tetapi jalan mesti dicari untuk mencapai sasaran 30 peratus tanpa memberi kesan buruk kepada pasaran dan daya saing," kata laporan itu lagi sambil merujuk kepada hasil kajian mengenai DEB yang dibuat oleh badan pemikir tempatan, Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (Asli).
Laporan Asli mendapati pegangan ekuiti bumiputera telah mencecah 45 peratus namun ia dinafikan oleh kerajaan. Bagaimanapun satu kajian lain yang dibuat oleh Universiti Malaya mendapati pegangan ekuiti bumiputera telah mencapai 33.7 peratus pada 1997.
Malah baru-baru ini Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mendedahkan di Parliamen bahawa pemilikan ekuiti bumiputera di Bursa Malaysia telah mencapai 36.64 peratus tahun lalu.
Namun begitu kerajaan tetap mempertahankan bahawa sasaran DEB masih belum tercapai.
Laporan Citigroup itu juga menyatakan subsidi kerajaan dan layanan berpilih-pilih dalam perkhidmatan kerajaan dan sosial seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan mengikut garis DEB telah menjejaskan pasaran perumahan, buruh dan saham.
Firma kewangan itu mahu satu tempoh penamatan DEB diputuskan bagi menzahirkan komitmen kerajaan untuk membetulkan keadaan ekonomi negara dan akur dengan realiti pasaran global.
Kerajaan juga digesa menghapuskan langkah kawalan kewangan yang terakhir iaitu sekatan terhadap perdagangan Ringgit di pasaran wang seberang laut.
Menurutnya, tindakan tidak mengantarabangsakan Ringgit ini telah menjejaskan keyakinan pelabur dan mudah tunai di pasaran.
Laporan itu juga mencadangkan amalan perlindungan dalam sektor perkhidmatan terutamanya kewangan, telekomunikasi dan pengangkutan dilonggarkan.

