Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Empat Adun tarik sokongan pada KM Melaka
Diterbitkan:  Oct 4, 2021 1:47 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron yang juga Adun Sungai Udang hari ini mengumumkan bahawa dia dan tiga lagi wakil rakyat hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan negeri kerajaan.

“Saya Idris Haron, Adun Sungai Udang, bersama Pangkalan Batu, Teluk Emas, dan Pantai Kundur, mengumumkan kami hilang kepercayaan kepada ketua menteri Melaka dan seluruh kepimpinan kerajaan.

“Kami berempat telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kepada pejabat ketua menteri,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, hari ini.

Selain Idris (BN-Sungai Udang), hadir pada majlis hari ini adalah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

"Kami dah hadir (sidang media) menunjukkan ketidakyakinan kepada kepimpinan kerajaan negeri hari ini.

"Kami pun letak jawatan (sebagai exco) bermakna kerajaan sudah tak ada," katanya lagi.

Bekas ketua menteri itu berkata tindakan berkenaan rentetan daripada beberapa keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana, sekali gus meletakkan Melaka sebagai negeri yang 'flip flop’ atau sering berubah-ubah dalam membuat keputusan.

"Seolah-olah ada dua singa di atas satu gunung dan ini menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata keempat-empat mereka bersedia berdepan dengan segala kemungkinan akibat tindakan yang dilakukan hari ini.

"Kami meletakkan kepentingan rakyat. Jadi kami serah kepada parti dan tunggu dipanggil Lembaga Disiplin Umno kerana saya dan Nor Azman masih lagi ahli Umno," kata Idris.

Untuk rekod, pada 2 Mac 2020, BN mengumumkan bahawa kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Adly Zahari tumbang selepas dua Adun Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) keluar daripada gabungan itu.

Selain itu, Adun PKR Muhammad Jailani Khamis (Rembia), dan Adun DAP Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) juga meninggalkan PH dan menyertai dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ini menjadikan sebanyak 17 wakil rakyat menyokong PN berbanding 11 di bawah gabungan PH.

Susulannya, pada 9 Mac 2020, Adun Umno Sulaiman Md Ali (Lendu), dilantik sebagai ketua menteri Melaka yang baru.

Buat masa ini, PH mempunyai 11 Adun di Melaka masing-masing tujuh dari DAP, dua PKR sementara dua daripada Amanah. DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Lihat Komen
ADS