Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang dirawat di wad khas rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dijangka dipindahkan ke wad biasa dalam masa terdekat berikutan keadaan kesihatan yang semakin pulih.

Pengurus Perhubungan IJN, Alawiyah Yussof berkata, bekas Perdana Menteri itu telah menjalani pemeriksaan darah, X-ray dan ujian mengesan jantung pagi tadi.

"Tun Dr Mahathir sejak dimasukkan ke IJN semalam boleh makan dan boleh tidur lena," katanya lagi.

Hari ini beberapa pemimpin politik telah datang melawat bekas Presiden Umno itu. Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut melawat Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, hanya Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dapat bertemu dan bercakap dengan Dr Mahathir.

Beliau tiba bersama Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai tiba jam 12.30 tengah hari dan menemui Dr Mahathir selama kira-kira lima minit. Fong dan Tan tidak masuk bilik bekas Perdana Menteri itu dirawat.

"Tun Dr Mahathir duduk di atas kerusi dan beliau kelihatan ok tetapi memberitahu beliau letih. Saya mengharapkan beliau cepat sembuh.

"Kami tidak bercakap mengenai Umno atau perkara lain kecuali kesihatan beliau sahaja," katanya.

Dr Mahathir, 81, yang memerintah negara selama 22 tahun hingga beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 dimasukkan ke IJN pada kira-kira pukul 4.30 pagi semalam selepas mengadu sakit dada.

Bekas Perdana Menteri itu pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada tahun 1989.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pula tiba pada jam 1.45 tengah hari. Bagaimanapun, beliau tidak dapat bercakap dengan Dr Mahathir kerana ketika itu beliau sedang tidur.

Rosmah hanya dapat bercakap dengan isteri Dr Mahathir, Tun Dr Hasmah Ali.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Abdullah Ahmad dan Exco Pemuda Umno, Datuk Firdaus Ismail turut melawat Dr Mahathir hari ini.

Awal pagi tadi, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh turut meziarahi Dr Mahathir