Tiada larangan bagi Umno bahagian Kubang Pasu untuk hadir sebagai perwakilan dalam perhimpunan agung parti itu minggu depan, kata Setiausaha Umno bahagian berkenaan, Shamsuddin Ahmad.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang arahan atau larangan diterima daripada ibu pejabat Umno berhubung status bahagian Kubang Pasu.

"Kami akan menghadiri perhimpunan itu sebagai perwakilan biasa. Semua 13 perwakilan dari Kubang Pasu telah membuat persiapan untuk ke Kuala Lumpur," katanya kepada malaysiakini.

Beliau mengulas kenyataan ahli jawatankuasa bahagian berkenaan, Datuk Mukhriz Mahathir pada Rabu lalu yang meragui status bahagian Kubang Pasu di perhimpunan kali ini - samaada sebagai perwakilan atau pemerhati sahaja.

Mukhriz berasa musykil tentang status bahagian tersebut kerana siasatan terhadap aduan salahlaku dan politik wang dalam pemilihan perwakilan Kubang Pasu sedang dijalankan oleh Lembaga Disiplin Umno.

Sambil merujuk kepada kes Umno bahagian Kinabatangan yang tidak dibenarkan hadir sebagai perwakilan, sebaliknya hanya sebagai pemerhati sahaja kerana bahagian itu menghadapi masalah dalam perjalanan mesyuarat bahagiannya bulan lalu, Mukhriz tertanya-tanya adakah bahagian Kubang Pasu menerima nasib yang sama.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad pada minggu lalu menjelaskan UMNO bahagian Kinabatangan tidak boleh menghantar perwakilan kerana mesyuarat bahagiannya tidak mengikut peraturan Perlembagaan UMNO apabila perwakilan G7nya hanya dipilih dan bukannya melalui proses pertandingan.

Samsuddin menjelaskan, mesyuarat bahagian Kubang Pasu telah dijalankan dengan mengikut peraturan parti dan siasatan terhadap aduan salah laku dan politik wang itu tidak menjejaskan status perwakilannya.

Lima perwakilan ke mesyuarat bahagian Kubang Pasu telah membuat aduan kepada Lembaga Disiplin Umno bahawa berlaku politik wang dan pelanggaran peraturan dalam kempen pemilihan perwakilan G7.

Kelima-lima mereka telah disoalsiasat oleh wakil lembaga tersebut dan setakat ini belum ada tindakan selanjutnya terhadap aduan-aduan berkenaan.

Antara lain mereka mengadu para perwakilan telah disogok dengan wang RM200 dan diminta jangan mengundi Dr Mahathir.

Mesyuarat bahagian Kubang Pasu diadakan pada 9 September lalu dengan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad turut bertanding untuk menjadi perwakilan ke perhimpunan agung minggu depan. Dr Mahathir adalah bekas ketua bahagian berkenaan sebelum beliau bersara dari parti dan kerajaan.

Dalam pemilihan itu, Dr Mahathir tewas apabila hanya menduduki tempat kesembilan dengan mendapat 227 undi manakala Mukhriz terpilih dengan menduduki tempat kelima.

Seramai 2,554 perwakilan akan mewakili bahagian-bahagian UMNO dalam perhimpunan yang akan berlangsung dari Isnin hingga Jumaat depan.