Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk diguna pakai dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Ab Rauf Yusoh berkata, setelah itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat keputusan berhubung SOP yang dicadangkan tersebut.

“Setelah kita mengutuskan surat rasmi dan menyerahkan proklamasi (pembubaran DUN) kepada SPR, SPR boleh mencadangkan kaedah SOP dan terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan keputusan seterusnya,” katanya.

Dia menjawab soalan pemberita berkenaan pandangannya tentang pelaksanaan PRN dalam waktu pandemik Covid-19.

Sidang media itu dibuat bagi mengumumkan pembubaran DUN Melaka yang mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.

Sejurus mengumumkan pembubaran itu, Rauf yang juga pengerusi Umno Melaka menyerahkan proklamasi pembubaran DUN kepada Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan.

Perkembangan itu selepas empat Adun mengumumkan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri.

Empat Adun itu ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Dua lagi Adun dikatakan akan menyertai mereka.

Selepas pembubaran diwartakan hari ini, pilihan raya perlu diadakan dalam masa 60 hari.

Selepas sidang media Rauf, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberikan bayangan bahawa KKM dan MKN boleh mencontohi cara PRN Sarawak ditangguhkan, iaitu menerusi pengisytiharan darurat.

Dalam satu sidang media, Zahid berkata hal itu boleh dilakukan sekiranya KKM dan MKN melihat pelaksanaan PRN sebagai sesuatu yang bahaya dalam tempoh pandemik.

Semalam, Zahid mencadangkan agar DUN Melaka bagi memberi ruang mandat dikembalikan kepada rakyat menerusi PRN. 

PRN Sabah pada tahun lalu mengundang kritikan hebat kerana dikatakan menyebabkan lonjakan kes Covid-19, sehingga mencetuskan gelombang ketiga jangkitan.

Setakat ini, seramai 88 peratus populasi dewasa telah menerima vaksinasi lengkap.