Suspek kes bunuh model Mongolia masuk hospital
Penganalisis politik terkemuka yang ditahan reman bagi membantu siasatan polis berhubung pembunuhan ngeri seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat asma dan penimbunan cecair dalam paru-paru selepas mengadu sakit dada.
Penganalisis politik terkemuka yang ditahan reman bagi membantu siasatan polis berhubung pembunuhan ngeri seorang model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat asma dan penimbunan cecair dalam paru-paru selepas mengadu sakit dada.
Penganalisis itu dibawa ke wad kecemasan HKL pada 8 malam semalam dengan dikawal ketat oleh tiga pegawai polis dan disertai lapan anggota polis berpakaian preman.
Beliau kini dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari di tingkat empat hospital itu untuk pengawasan perubatan di bawah kawalan polis.
Semalam, penganalisis itu dibawa ke HKL bersama seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor, seorang konstabel dan seorang Lans Korporal wanita untuk ujian DNA.
Peguam penganalisis politik berkenaan, Datuk Muhammad Shafee Abdullah berkata anak guamnya berharap agar tiada gangguan daripada media dan orang ramai.
"Beliau mahu berehat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital itu awal hari ini.
Menurut laporan Bernama, ini kali kedua penganalisis itu dibawa ke hospital. Kali pertama ialah pada hari beliau ditahan setelah beliau mengadu komplikasi yang sama dan kemudian diberikan rawatan pesakit luar.
Turut dilihat berada di hospital ialah isteri penganalisis itu, bapa dan anaknya yang beredar dari situ pada 2 pagi.
Penganalisis berusia 46 tahun itu yang mengetuai sebuah organisasi kumpulan pemikir tempatan ditahan reman selama lima hari yang berakhir esok.
Turut ditahan ialah seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor dan seorang konstabel dari Unit Tindakan Khas dan seorang Lans Korporal wanita dari unit anti maksiat Petaling Jaya serta dua penyiasat persendirian.
Altantuya dipercayai ditembak sebelum mayatnya diletupkan di Puncak Alam, berhampiran Shah Alam dua minggu lepas.
Model itu tiba di Malaysia pada 6 Okt bersama adik perempuan dan sepupunya untuk mencari lelaki yang mempunyai hubungan sulit dengannya. Mereka bertemu di Mongolia dua tahun lepas.
Altantuya dikatakan meminta bantuan kewangan daripada penganalisis itu bagi merawat bayi lelakinya ketika mengunjungi rumah penganalisis politik berkenaan di Damansara Heights pada 19 Okt, iaitu kali terakhir dia dilihat masih hidup.
Apabila dia tidak muncul semula selepas kunjungan itu, adik dan sepupunya membuat laporan polis serta mendapatkan bantuan daripada kedutaan Mongolia di Bangkok.

