Gejala murtad di negara ini tidak seburuk yang digembar-gemburkan, jauh sekali dari mencapai hingga 100,000 orang seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, kata seorang pensyarah undang-undang.

Dr Mohd Azam Mohd Adil yang menjalankan kajian berdasarkan data yang diperolehi dari mahkamah syariah, jabatan agama Islam negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati jumlah orang Islam yang murtad amat kecil.

Pensyarah undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, negeri yang mencatatkan jumlah orang murtad paling ramai ialah Negri Sembilan - 16 orang sahaja dari tahun 1994 hingga 2003.

Azam telah mengumpul dan mengkaji data-data yang diperoleh daripada pihak berkenaan hingga Julai 2003) untuk tesis doktor falsafahnya ( PhD) yang bertajuk " Analisa perbandingan undang-undang sivil dan syriah mengenai murtad ".

Tesisnya itu dihantar ke jabatan undang-undang Pusat Kajian Asia dan Afrika, University of London, United Kingdom pada tahun lalu.

Menurut Azam, sepanjang tempoh sembilan tahun kajiannya itu, hanya 84 permohonan dari penganut Islam untuk menukar agama mereka dikemukakan kepada Mahkamah Syariah Negeri Sembilan.

"Daripada jumlah itu, 16 permohonan diluluskan, 29 ditolak dan 39 lagi diletakkan dalam perhatian," katanya ketika ditemui di Pusat Pemikiran dan Pemahaman Islam UiTM semalam.

Menurut beliau, Negri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukan di bawah Enekmen Undang-undang Pentadbiran Islam 1991 (pindaan 1995) untuk mendengar permohonan keluar dari agama Islam.

Kuasa mahkamah

Sarawak juga mempunyai jumlah permohonan untuk keluar dari Islam yang agak tinggi tetapi sebahagian besar permintaan datang dari mualaf.

Menurut Azam, di Sarawak, permohonan menukar agama Islam dibuat kepada jabatan hal ehwal agama Islam negeri itu kerana Mahkamah Syariah Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan.

Jabatan berkenaan katanya, mempunyai kuasa mengeluarkan dokumen mengesahkan status agama pemohon berkenaan.

" Dokumen ini sah dan diterima pakai oleh JPN," ujarnya.

Azam menambah, negeri-negeri lain mencatatkan jumlah permohonan keluar dari Islam yang amat kecil atau sifar.

Umpamanya, Kedah hanya mencatatkan dua permohonan - satu secara lisan dan satu lagi secara bertulis. Bagaimana permohonan tersebut ditolak atas alasan Mahkamah Syariah negeri itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu.

Di Wilayah Persekutuan pula, permohonan yang diterima dari tahun 2001 hingga 2003 hanya 12 kes.

Semua 12 permohonan itu menurut beliau telah ditolak oleh Hakim Mahkamah Syariah atas alasan Akta Undang-undang Pentadbiran Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 tidak memperuntukkan kuasa kepada mereka untuk mendengar kes-kes berkenaan.

Sementara itu sehingga tahun 2003 tiada sebarang rekod permohonan keluar dari Islam dicatatkan oleh Mahkamah Syariah Pulau Pinang.

Menurut Azam walaupun terdapat beberapa permohonan dibuat di mahkamah sivil di negeri itu, namun ia ditolak kerana mahkamah berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengadilinya.

Tukar nama

Di peringkat nasional pula katanya, JPN telah menerima 750 permohonan untuk menukar nama Islam kepada nama bukan Islam pada kad pengenalan mereka.

Daripada jumlah itu, hanya 220 diluluskan selama tempoh lima tahun itu. Sebahagian besar permohonan adalah daripada saudara baru.

Satu perkara yang menarik, katanya, daripada Januari hingga Julai 2003 terdapat 31 permohonan menukar nama Islam kepada nama bukan Islam diterima daripada pemohon yang dilahirkan Islam sejak lahir.

Azam berkata, angka-angka dan hasil kajiannya ini sedikit sebanyak memberikan gambaran sebenar tentang gejala murtad di negara ini.

Oleh itu katanya orang-orang berpengaruh sepatutnya tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang sensitif berkaitan murtad tanpa berdasarkan bukti-bukti kukuh.

Orang ramai pula katanya, perlu menapis maklumat yang mereka terima dan bertindak secara rasional.

"Jumlah orang Islam yang murtad antara 100,000 hingga 250,000 yang disebarkan dalam SMS adalah tidak benar. Mana bukti bagi menyokong dakwaan itu? Kita perlu melihat buktinya, jangan terpengaruh dengan khabar-khabar angin," kata Azam lagi. Berita asal