Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib saran tangguh PRN di Melaka
Diterbitkan:  Oct 6, 2021 12:14 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak menyarankan penangguhan pilihan raya negeri (PRN) di Melaka susulan pembubaran dewan undangan negeri (DUN) semalam, seperti yang dilakukan terhadap pilihan raya negeri Sarawak.

Kata ahli parlimen Pekan itu, penangguhan berkenaan adalah perlu memandangkan sektor ekonomi di Melaka baru sahaja dibuka selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang panjang dikenakan diseluruh negara.

"Amat kecewa dengan dua Adun Umno, seorang Adun Bersatu dan seorang Adun bekas DAP yang tumbangkan kerajaan negeri Melaka.

"Situasi ini boleh dielak dan diselesaikan secara dalaman. Tetapi kini sudah terlambat.

"Dengan mengambil kira bahawa ekonomi Melaka baru sahaja mula dibuka semula selepas PKP berganti PKP separuh masak yang begitu lama, pendapat saya ialah PRN Melaka patut ditangguh sebagaimana PRN Sarawak ditangguh setelah DUN Sarawak terbubar secara automatik pada 7 Jun 2021 lalu," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berkata demikian sebagai mengulas mengenai pembubaran DUN Melaka bagi membolehkan PRN diadakan dalam tempoh 60 hari susulan krisis dalaman yang melanda negeri berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memaklumkan bahawa ia telah menerima notis rasmi daripada Speaker Ab Rauf Yusoh berhubung pembubaran DUN Melaka.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, berdasarkan Fasal (4) suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran DUN.

Justeru, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Kerajaan negeri Melaka tumbang apabila empat Adun kerajaan yang diketuai bekas ketua menteri, Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka.

Idris adalah Adun Sungai Udang. Tiga Adun yang lain ialah Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan melalui tindakan beberapa Adun yang berpaling tadah, gabungan BN-PN menguasai 17 kerusi berbanding 11 oleh pembangkang.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kemungkinan pengisytiharan darurat diperlukan bagi menghalang berlakunya pilihan raya negeri di Melaka.

Katanya, SPR perlu berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jika penularan Covid-19 akan membahayakan rakyat jika PRN diadakan.

PKR dan DAP juga menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Melaka susulan penularan wabak Covid-19.

Lihat Komen
ADS