PARLIMEN l Op Naga yang merupakan operasi bersepadu pelbagai agensi bertujuan menangani pencerobohan bot nelayan asing dan mengelak kehilangan sumber hasil laut negara masih dilaksana dan akan diteruskan, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata sejak dilancarkan pada April 2019 hingga 17 Ogos lepas, sebanyak 22,384 pemeriksaan dilaksanakan dengan 416 tangkapan dibuat.

Sepanjang tempoh itu juga katanya, kerajaan berjaya memperoleh RM455,947,100 hasil nilai rampasan bot dan denda yang dikenakan atas pemilik bot asing terbabit.

“Kerjasama strategik antara pelbagai agensi melalui Op Naga ini masih diteruskan. Op Naga berupaya membantu banteras pencerobohan bot nelayan asing terutama dari Vietnam yang sangat aktif di perairan negara tak kira di pantai timur atau perairan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Amanah-Pulai) yang mahu tahu samada Op Naga masih diteruskan.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai perancangan kerajaan dalam menambah baik aset di bawah agensi-agensi maritim negara, Ismail berkata ia sememangnya dirancang di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Tentang aset-aset kapal dan bot maritim negeri-negeri dalam negara kita, kita mempunyai bilangan 247 aset. Dalam RMK12 kita akan tumpukan juga untuk menambah baik termasuk perolehan aset supaya kita ada keupayaan menangani bot nelayan asing yang menjejaskan hasil negara,” katanya.

- Bernama