SMS palsu ISA tindakan terakhir
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya akan digunakan sebagai tindakan terakhir terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow hari ini.
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya akan digunakan sebagai tindakan terakhir terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow hari ini.
Beliau mengulas laporan mengenai seorang wanita berusia 40-an, yang dikenalpasti sebagai orang yang bertanggungjawab menyebarkan SMS palsu yang mendakwa satu majlis membaptis orang Islam akan diadakan di sebuah gereja di Perak.
Berikutan itu, pelbagai pihak menggesa kerajaan menggunakan ISA terhadap pihak yang bertanggungjawab menghantar SMS tersebut. Ekoran SMS itu juga, sekumpulan umat Islam berkumpul di gereja tempat majlis pembaptisan itu didakwa akan berlangsung.
Bagaimanapun Fu berkata, kes itu akan disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan tidak perlu menggunakan ISA, yang membolehkan tahanan tanpa bicara.
"ISA sentiasa menjadi langkah terakhir," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen.
Dalam hubungan itu, Fu berkata, kejadian tersebut menunjukkan pentingnya pendaftaran talian prabayar bagi mengelak penyalahgunaan seumpama itu.
Kerajaan telah menetapkan pertengahan bulan depan sebagai tarikh terakhir untuk mendaftar talian telefon prabayar.,
Mufti dedah pengirim SMS
Media hari ini melaporkan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria telah mengenalpasati wanita yang bertanggungjawab menghantar SMS mengenai 'majlis pembaptisan' tersebut.
Menurut beliau, wanita itu lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang kemudian melanjutkan pengajiannya ke Universiti Al-Azhar di Kaherah.
Wanita itu dikatakan telah menyertai kumpulan pendakwah untuk melakukan kerja-kerja sosial. Dia dikatakan menganut agama Kristian, tetapi kembali semula kepada Islam.
Harussani berkata, beliau pertamakali menerima SMS dari wanita tersebut pada 21 Oktober, bersama butiran lanjut mengenai tempat dan masa majlis pembaptisan itu yang didakwanya akan diadakan.
Mufti itu berkata, beliau bertemu dengan wanita tersebut sebelum Hari Raya lalu, yang membawa bersamanya cakera padat dan dokumen yang didakwa mendedahkan bahawa pelayar negara, Datuk Azhar Mansor akan mengetuai majlis pembaptisan tersebut.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata ISA boleh digunakan terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu dan berbentuk hasutan melalui SMS. Berita asal

