Polis panggil tiga lagi wartawan
Polis hari ini memanggil tiga lagi wartawan akhbar utama berhubung laporan mengenai pembunuhan seorang model sambilan rakyat Mongolia di Malaysia bulan lalu.
Polis hari ini memanggil tiga lagi wartawan akhbar utama berhubung laporan mengenai pembunuhan seorang model sambilan rakyat Mongolia di Malaysia bulan lalu.
Sebelum ini, polis Kuala Lumpur dilaporkan memanggil lima wartawan akhbar utama berbahasa Melayu berhubung laporan berkaitan pembunuhan model Mongolia berusia 28 tahun, Altantuya Shaariibuu alias Aminah.
Altantuya dipercayai ditembak dan mayatnya diletupkan berhampiran Empangan Subang di Puncak Alam, Shah Alam, selepas dia datang ke Malaysia untuk mencari lelaki rakyat Malaysia yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengannya.
Enam orang, seorang daripadanya penganalisis politik dan tiga pegawai polis, ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, juga berada di Malaysia untuk membantu siasatan itu.
Bantu siasatan
Menurut sumber-sumber media, tiga wartawan tersebut adalah dari akhbar China Press , Nanyang Siang Pau dan Sin Chew untuk memberi kenyataan berhubung kes pembunuhan model tersebut.
Difahamkan, ia juga ada kaitan dengan sumber-sumber maklumat yang diterima oleh wartawan terbabit mengenai kes tersebut.
Jurucakap Polis Kuala Lumpur mengesahkan wartawan dari tiga akhbar berbahasa telah dipanggil hari ini, tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
Difahamkan, sebelum ini, wartawan dari akhbar Utusan Malaysia merupakan yang pertama dipanggil oleh pihak polis manakala wartawan akhbar berbahasa Cina itu dimaklumkan semalam.
Menurut sumber-sumber media itu lagi, lebih ramai wartawan dijangka dipanggil untuk membantu siasatan polis dalam kes pembunuhan tersebut.

