Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan diteruskan sehingga agenda untuk mewujudkan perpaduan nasional dicapai, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Lau Yeng Peng (BN-Puchong) bertanya Jabatan Perdana Menteri (JPM) sama ada dasar bertindak afirmatif itu serasi dengan dasar pasaran terbuka negara.

Menjawab soalan bagi pihak JPM, Setiausaha Kementerian Luar, Ahmad Shabery Cheek, dalam jawapan bertulisnya berkata, dasar tersebut tidak akan diteruskan sehingga beberapa isu ditangani.

Katanya, selagi wujud pengagihan kekayaan yang tidak sama rata antara kau, maka selama itulah satu agenda diperlukan untuk memastikan penyertaan yang seimbang antara kaum supaya kekayaan diagih secara adil dan saksama.

Apa yang lebih penting ialah untuk mencapai perpaduan nasional, katanya menjawab soalan Lau, daripada parti Gerakan, salah sebuah parti komponen Barisan Nasional.

Shabery berkata, isu-isu yang masih perlukan perhatian ialah pemilikan ekuiti korporat, pengagihan gunatenaga profesional yang tidak sama rata dan perbezaan pendapatan antara kaum.

Katanya, tindakan afirmatif itu bertujuan untuk meningkatkan standard ekonomi dan pendidikan supaya kedudukan bumiputera setaraf dengan bukan bumiputera.

Perdebatan panas

Sejak kebelakangan ini, tercetus perdebatan hangat sama ada DEB telahpun mencapai sasarannya, ekoran kajian Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) dan Universiti Malaysia (UM) yang merumuskan pemilikan ekuiti bumiputera telahpun melebihi sasaran 30 peratus.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan sasaran tersebut masih belum tercapai walaupun angka rasmi terkini menunjukkan bumiputera memiliki 36.64 peratus saham di Bursa Malaysia tahun lalu.

DEB digubal pada 1970 sebagai bahagian daripada rangka tindakan untuk mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum di Malaysia.

Ia digubal untuk tempoh 20 tahun tetapi dasar tersebut telah dilanjutkan selepas 1990 di bawah nama lain Dasar Pembangunan Baru.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan DEB akan dikekalkan untuk tempoh 15 tahun lagi sehingga tahun 2020.