Musa: Hentikan pendakwaan melalui media
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meminta pengamal media dan wartawan menghentikan "pendakwaan" melalui media dalam kes pembunuhan model sambilan Altantuya Shaariibuu, 28, dari Mongolia.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meminta pengamal media dan wartawan menghentikan "pendakwaan" melalui media dalam kes pembunuhan model sambilan Altantuya Shaariibuu, 28, dari Mongolia.
Sebaliknya, kata beliau, pihak media perlu menyerahkan kepada polis untuk menyiasat semua kes dengan rapi dan membiarkan perbicaraan mengenainya dibuat di mahkamah, tanpa mengira kes berkenaan berprofil tinggi atau tidak.
"Kamu membicarakan orang berkenaan melalui media, bukan melalui mahkamah. Saya hanya takut bahawa dengan pemberitaan seperti ini, orang sebenar yang terlibat dengan kes ini akan terlepas," katanya mengulas tindakan polis memanggil beberapa pemberita memberi keterangan berkaitan laporan tentang kes tersebut.
Sebelum itu, menurut laporan Bernama, Musa menerima cek RM100,000 daripada Henikwon Corp Sdn Bhd bagi dana pelajaran anak pegawai polis di Kuala Lumpur hari ini.
Altantuya dipercayai ditembak sebelum mayatnya diletupkan berhampiran Empangan Tasik Subang di Puncak Alam, Shah Alam, selepas dia datang ke Malaysia bagi mencari seorang lelaki yang dikatakan mempunyai hubungan intim dengannya.
Enam orang, termasuk seorang penganalisis politik dan tiga pegawai polis, telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes itu.
Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, juga datang ke negara ini bagi membantu pihak berkuasa menyiasat kes berkenaan.
Sumber berita
Semalam, perintah reman terhadap penganalisis politik berkenaan yang membantu dalam penyiasatan kes itu, disambung dua hari lagi hingga esok.
Musa berkata, polis mengambil dayausaha memanggil wartawan berkenaan untuk mengambil keterangan mereka tentang cara dan dari mana mereka mendapat maklumat mengenainya.
"Ia bukan atas perintah Pejabat Peguam Negara. Ia dari kami," katanya.
Musa berkata sejak minggu lalu, pihak media membuat spekulasi tentang kes itu dan beliau bimbang laporan spekulatif seperti ini boleh menjejaskan siasatan polis pada masa akan datang.
"Kamu semua membuat spekulasi dengan menggunakan sumber sendiri dan sebagainya... Saya tahu orang ingin tahu tentang kes ini, tapi tolonglah jangan buat spekulasi. Rentetan peristiwa... dari mana kamu dapat semua itu?
"Saya ingin tahu, apabila kamu kata (tulis) sesuatu, kamu dapatnya dari mana?" kata beliau.
Musa berkata langkah itu merupakan amalan standard walaupun beliau faham bahawa pemberita perlu melindungi sumber mereka sejajar dengan etika kewartawanan dan oleh itu, tambahnya, pemberita berkenaan tidak akan dikenakan sebarang tindakan.
"Bagaimanapun, jika mahkamah memerlukan mereka memberi kenyataan, mereka perlu mendedahkan sumber mereka," kata beliau.

