Kementerian Keselamatan Dalam Negeri akan memberi amaran bertulis kepada tabloid Harian Metro yang menyiarkan di muka depannya hari ini mengenai DVD 'rahsia' rakaman enam banduan menjalani hukuman sebat.

Dalam laporannya pula, tabloid itu cuba mengaitkan antara hukuman sebat tersebut dengan klip video seorang wanita melakukan ketuk ketampi dalam keadaan bogel dalam lokap polis, yang mencetuskan kemarahan awam pada tahun lalu.

Menceritakan proses tersebut secara terperinci, laporan tabloid tersebut menyebut salinan DVD bertajuk Rotan 18SG dijual pada harga RM10 setiap satu.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow menegur akhbar tersebut kerana menyiarkan 'laporan yang negatif'.

"Kita akan memberi amaran bertulis. (Tabloid tersebut) tidak sepatutnya menggambar bahawa Jabatan Penjara menjalankan hukuman rotan sesuka (hatinya) dan seoleh-oleh kerajaan menyembunyikan sesuatu," katanya.

Beliau memberitahu satu sidang akhbar di lobi Parlimen petang ini bahawa rakaman tersebut dipetik dari sebuah DVD yang digunakan oleh pihak berkuasa penjara sebagai bahan pengajaran untuk mencegah jenayah.

"Jadi, rakaman yang dianggap rahsia itu mengandungi sebahagian daripada DVD yang dirakamkan oleh Jabatan Penjara pada 2004 atas permintaan sebuah jawatankuasa untuk mencegah gelaja sosial di Negeri Sembilan," jelasnya.

Menurutnya, rakaman yang sama juga telah ditayangkan di banyak pamerah awam atau dalam mesyuarat pada masa lalu untuk tujuan pendidikan.

Mereka yang menyaksikannya termasuklah anggota Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang ditugaskan untuk meminda Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan, serta mesyuarat jawatankuasa belia.

"Sebatan tersebut, seperti dalam DVD itu, dilaksanakan ke atas banduan (yang dihukum sebat) dan jumlah sebatan juga adalah mengikut perintah mahkamah," tambahnya.

Siasatan dijalankan

Menurut Fu, wajah banduan tidak ditunjukkan dalam filem asal bagi melindungi identiti mereka.

"Saya kesal dengan laporan Harian Metro yang mengandungi foto yang membayangkan pihak kerajaan menyembunyikan sesuatu, dan ia cuba mengaitkan DVD itu dengan skandal ketuk ketampi dalam keadaan bogel ia bukan situasi yang sama," tambah Fu.

Laporan tersebut memetik seorang pelanggan yang membeli salinan DVD itu sebagai berkata "sebatan (yang dilakukan) secara terbuka, tidak banyak bezanya dengan ketuk ketampi secara berbogel dalam lokap polis".

Klip video selama satu minit mengenai ketuk ketampi itu, yang dirakamkan secara rahsia dengan kamera telefon, telah mencetuskan kemarahan awam sehingga kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat skandal tersebut.

Menjelas lebih lanjut, Fu berkata, beliau kecewa Harian Metro tidak berusaha mendapatkan komen kementerian sebelum menyiarkan laporan tersebut dan pihak kerajaan mahu akhbar menyiarkan laporan yang seimbang.

Mengenai penyebaran DVD itu, Fu berkata, beliau akan menghubungi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Halehwal Pengguna untuk merampas salinan tersebut, manakala kementeriannya akan mengesan pihak yang bertanggungjawab.

Ditanya sama ada ia membabitkan orang dalam Jabatan Penjara, Fu berkata, ia sukar ditentukan kerana DVD itu telah banyak kali ditayangkan, walaupun jabatan tersebut menyimpan salinan asalnya.

Minggu lalu, kementerian berkenaan menggantung penerbitan edisi hujung minggu Malay Mail selepas akhbara tersebut menyiarkan laporan mengenai dan foto berkaitan subjek seks yang telah mencetuskan kemarahan awam. Berita asal