Paling Popular
Terkini

Presiden penaja kepada Parti Kuasa Rakyat, Kamarazaman Yaakob berkata bahawa partinya akan kekal sebagai parti mesra BN.

Abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob itu berkata demikian dalam majlis pelancaran parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

"Parti Kuasa Rakyat telah membuat keputusan bahawa parti ini adalah mesra kerajaan kerana apa yang ingin kami perjuangkan itu hanya mampu dilaksanakan kalau parti ini mesra dengan kerajaan hari ini.

"Sebab untuk dapatkan rumah percuma bagi rakyat miskin, atau pendidikan percuma bagi anak-anak miskin, kesihatan percuma untuk rakyat perlukannya tak mungkin terhasil kalau tak mesra dengan kepimpinan kerajaan hari ini dan parti kami adalah berbilang kaum.

"Jika pihak BN lihat kami ada kekuatan dan kami bekerjasama satu sama lain, kalau satu masa nanti kami perlukan bersama-sama parti yang lain (BN)," katanya dalam sidang media hari ini.

Turut hadir, bekas pengerusi PKR Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Hassan, bekas ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan, bekas pengerusi parti Putra Negeri Sembilan Mohamad Nasir Saludin, dan bekas pengerusi parti Amanah Pahang Hamzah Jaaffar.

Sementara itu, Kamarazaman berkata bahawa dia tidak meminta restu adiknya, Ismail sebelum menubuhkan parti itu.

"Tidak ada. Kalau lihat saja perjuangan saya sejak daripada kampus UM lagi, sehingga kini, di dalam penglibatan saya dalam parti politik, keputusan saya tidak pernah mengikut jalur pemikiran perdana menteri.

"Tetapi, ada kesamaan oleh kerana datang dari anak seorang penoreh getah, masa sudah tentu parti dihujani dengan orang miskin.

"Sebab itu kami rasakan, pemikiran saya ada titik temu dalam merapatkan jurang kaya dan miskin di negara ini," katanya.

Lihat Komen
ADS