Pemuda Umno mahu kaum-kaum lain tidak gusar atau memandang serong pada Keris Panca Warisan yang menjadi lambang perjuangan pergerakan itu kerana ia bukan simbol penjajahan terhadap kaum lain di Negara ini.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, keris itu juga bukannya lambang penganiayaan atau penindasan ke atas kaum lain oleh orang Melayu.

"Saya masih tidak lupa pada perhimpunan agung Pemuda tahun lepas, Keris Panca Warisan telaah mencetuskan kebimbangan dikalangan masyarakat bukan Melayu.

"Sungguh terkongkong pemikiran dan pemehaman mereka terhadapbudaya warisan nenek moyang kita! Apakah mereka tidak sedar selama ini kita telah sama-sama mengamalkan konsep kesatuan dalam kepelbagaian budaya," kata dalam ucapan dasar di perhimpunan agung Pergerakan Pemuda Umno hari ini.

Hishammuddin menegaskan, tiada apa yang perlu ditakuti dan digusari terhadap Keris Panca Warisan kerana ia sebenarnya lambang manifestasi tekad baru Pemuda Umno.

Tekad baru Pemuda ialah untuk mengupayakan orang Melayu melalui perjuangan yang berlandaskan lima rukun idelisme iaitu rukun Islam, rukun Iman, rukun negara,agenda Melayu dan jati diri.

Tahun lalu ketua pemuda Umno ini menghunuskan keris tersebut ketika menyampaikan ucapan dasarnya dan ekoran daripada itu parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan individu bukan Melayu menjadikan satu isu perkauman.

Tiada rasa curiga

Hishamuddin dan Pemuda Umno telah dianggap sebagai chauvinis Melayu dan berfikiran sempit serta mengugut kaum lain dengan kekerasan.

Beliau yang juga Menteri pelajaran berharap isu keris tidak dibangkitkan lagi selepas ini dan Pemuda Barisan nasional (BN) dapat berdiri Hishammuddin bersendikan keikhlasan, persefahaman, kejujuran, tanpa rasa curiga dan syak wasangka.

"Ini kerana semangat BN itu bukan sekadar berdiri atas persefahaman politik kongsi kuasa semata-mata tetapi juga bersandarkan kepada hubungan jiwa dan hubungan niat. Oleh itu, sebarang permasalahan dan konflik hendaklah ditangani secara bersama dengan penuh kebijaksanaan," jelasnya.

Beliau mengakui kadangkala ada di kalangan pemimpin Pemuda BN yang terlepas had dan batasan tetapi segala perbezaan pendapat atau salah faham dapat diatasi dengan kematangan dan kebijaksanaan politik.

Sehubungan itu, Hishammuddin mengingatkan mana-mana pemimpin jangan cuba menonjolkan diri mereka sebagai "jaguh kaum" masing-masing atau cuba mencari populariti murahan semata-mata .

''Kita mengingatkan mereka agar jangan cuba menggugat perpaduan ini dan jangan sama sekali bermain api perpecahan. Kita kenal siapa mereka kita tahu di mana mereka berada dan apa yang mereka perkatakan.

"Kita Pemuda Umno sama sekali tidak gentar untuk berhadapan dengan pemimpin jenis oportunis ini," ujarnya.

Beliau menegaskan, Pemuda Umno tidak akan berkompromi daan bertolak ansur dalam soal masa depan negara dan tidak akan terjebak dalam politik kebencian.