Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani tidak setuju dengan langkah agensi kerajaan menghantar laporan tahunan menggunakan pemacu pena (pen drive) dan cakera padat (CD) kepada setiap ahli parlimen.

Ia selepas dia mendapati sebahagian besar daripada penyimpan data tersebut dibuang ke dalam tong sampah di Dewan Rakyat.

“Semalam, tong sampah di Parlimen penuh dengan CD dan pemacu pena. Yang saya nampak hanyalah wang (dibuang) dalam tong sampah,” ciapnya di Twitternya hari ini.

Kasthuriraani berkata lagi, kaedah yang lebih menjimatkan harus digunakan untuk menggantikan amalan itu, dan laporan agensi kerajaan boleh diberikan kepada anggota parlimen dengan cara yang lebih bijak.

Dia berkata demikian sebagai respons balas kepada ciapan Lukanisman Awang Sauni (PBB-Sibuti) yang membangkitkan isu di Twitter.

Lukanisman menunjukkan beberapa gambar di meja parlimennya yang penuh dengan pemacu pena yang mengandungi laporan tahunan dari agensi kerajaan.

“Seperti CD, pemberian USB ini juga pembaziran kecil walaupun boleh dimaanfaat sebagai bootable usb windows atau Ubuntu, laporan masih boleh dimuat turun…,” ciapnya sambil menanda Kasthuriraani yang pernah membangkitkan perkara sama tiga tahun lalu.

Ada ahli parlimen lain yang turut senada dengan Lukanisman.

“Sangat setuju YB, meja saya penuh (dengan pen drive). Saya boleh buat koleksi (dengan warna) pelangi,” gurau Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).

Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam) juga bersetuju dengan ciapan Lukanisman dengan mengatakan kini semuanya data boleh diperolehi dengan memuat turun dokumen sedia ada.

“Saya cadangkan kerajaan susunkan fail-fail ini untuk dimuat turun dari portal parlimen dan bukan nak kena cari di merata tempat di laman web setiap agensi,” katanya.