Syarikat balak nafi bertembung dengan penduduk Penan di Baram
Syarikat pembalakan Samling Group menafikan berlakunya kebuntuan dengan beberapa masyarakat Penan di Baram Tengah, Sarawak, yang mendirikan sekatan bagi menghalang apa yang didakwa sebagai pencerobohan terhadap tanah hak adat (NCR) mereka.
Menurut Samling, bertentangan dengan laporan media yang memetik NGO Bruno Manser Fonds (BMF), pihaknya mengadakan pertemuan dengan ketua masyarakat bagi mendapatkan keizinan dan insiden yang membawa kepada sekatan itu melibatkan hal antara penduduk.
"Setakat ini ketua sudah mendapat keizinan 56 Ketua Bilik di Long Pakan.
"Malangnya, ketua kampung, Pada Jutang, tidak termasuk dalam kalangan yang memberi keizinan. Maka, Pada Jutang dan beberapa penduduk kampung mendirikan sekatan pada 23 Ogos," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.
Syarikat itu juga mendakwa penduduk kampung tersebut telah memotong kayu balak yang dibawa, yang pada mulanya untuk digunakan membina jambatan di Sungai Patah.
Katanya lagi, penduduk yang mengizinkan operasinya di kawasan itu telah membuat laporan polis pada 14 September.
Bagaimanapun, sebelum polis bertindak, ada penduduk kampung yang merombak sekatan pada 21 September, kata syarikat itu lagi.
"Kami difahamkan penduduk kampung ini diketuai Sakaria Pada, anak kepada Ketua Kampung Pada Jutang.
"Samling tidak pernah membuat ancaman ke atas Ketua Kampung atau mana-mana penduduk, dan Samling juga tidak terlibat merombak sekatan itu," kata syarikat itu lagi.
Syarikat itu juga menafikan dakwaan membuat operasi di tanah NCR mahupun menebang balak di kawasan itu.
"Memang benar yang Saming mendapat permit (Permit to Enter Coupe, PEC) bagi Coupe 01A, T0405 Layun pada 27 Ogos 2021 bagi pengeluaran balak.
"Namun, Samling belum memulakang sebarang kerja di kawasan itu dan setakat ini hanya mula mengangkut kayu balak dari luar untuk membina jambatan di Sungai Patah.
"Tuduhan ini berniat jahat dan tanpa asas. Pertamanya, Samling belum memulakan kerja pengeluaran di sana dan kami masih dalam perbincangan dengan penduduk kampung untuk menjelaskan skop kerja kami kepada mereka.
"Kedua, di bawah lesen yang diberi, Samling tidak dibenarkan masuk kawasan tanah NCR yang mungkin ada dalam coupe tersebut," katanya lagi.

