Beberapa perwakilan Pergerakan Pemuda Umno menyifatkan ucapan dasar Datuk Hishamduddin Hussein sebagai satu peringatan kepada Pemuda Umno dan orang Melayu terhadap realiti semasa.

Menurut mereka perkara yang dibangkitkan oleh Hishamuddin mungkin sensitif tetapi wajar dan kena pada masanya.

Bagi mereka, isu agenda Melayu, politik dan agama yang diutarakan oleh Ketua Pemuda Umno itu amat penting untuk mengejutkan orang Melayu dari lalai dan tidak berpijak di bumi nyata.

Wakil Pemuda Padang Terap, Jasni Shafie berkata, walaupun sebahagian isu itu mungkin sensitif kepada kaum lain tetapi Pemuda Umno perlu emperjuangkannya.

Oleh itu, katanya, pergerakan itu tidak boleh menoleh ke belakang lagi kerana cabaran yang bakal berlaku adalah semakin besar dan sukar.

"Ia mungkin menimbulkan kontroversi kerana ia membabitkan kaum lain, tetapi tidak salah untuk Pemuda Umno memajukan bangsa sendiri selagi tidak meminggirkan kaum-kaum lain.

Semangat untuk Pemuda

"Isu agama memang sensitifisu murtad perlu ditangani dengan bijak. Hanya Mahkamah Syariah yang boleh membabitkan isu itu dan bukannya mahkamah sivil," katanya ketika diminta mengulas ucapan dasar Hishamuddin di perhimpunan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau juga mahu Pemuda membabitkan diri secara proaktif dalam isu-isu seperti membanteras gejala Mat Rempit di kalangan anak-anak muda Melayu.

Wakil Pemuda Kota Tinggi, Azhar Ali pula berkata, ucapan panjang lebar itu boleh memberi semangat kepada Pemuda untuk mengorak langkah baru dalam dunia yang semakin mencabar.

"Saya sangat tertarik dengan jaminan Datuk Seri Hishadmuddin bahawa Pemuda tidak akan memberi ruang kepada pengkhianat parti. Ini peringatan kepada semua bahawa parti tidak memerlukan pemimpin yang bermuka-muka," katanya,

Beliau berkata, isu ekonomi terutama mengenai agenda Melayu yang menjadi teras kepada ucapan Ketua Pemuda membuktikan Pemuda Umno sangat komited untuk membantu orang Melayu di luar bandar.

Sementara wakil Kuala Pilah, Norhadi Hassan pula berkata, Pemuda era sekarang dalam semua peringkat perlu mengorak langkah dalam isu-isu yang menjadi tumpuan kepada golongan tersebut.

Katanya, isu ekonomi dan pendidikan merupakan yang paling penting kerana jika diabaikan bangsa Melayu akan terus ketinggalan.

Hishammuddin dalam ucapan dasarnya pada sebelah pagi tadi, menyentuh pelbagai isu meliputi ekonomi, pendidikan, agama dan isu Mat Rempit.

Beliau juga mahu ahli Pemuda memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.