Angka yang berbeza yang diberikan oleh dua kementerian berhubung pemilikan ekuiti bumiputera telah menimbulkan kekeliruan, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Bagaimanapun, beliau menolak sebarang tindakan diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Effendi Norwawi atau Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang menjadi punca kekeliruan tersebut.

Selasa lalu, Awang Adek memberitahu Dewan bahawa pemilikan saham bumiputera di Bursa Saham telah mencecah 36.6 peratus tahun lalu. Bagaimanapun, dalam satu kenyataan media petang semalam, Effendi membuat penjelasan bahawa angka tersebut tidak tepat kerana ia berada pada tahap 21.8 peratus.

"Saya bersetuju timbul kekeliruan, tetapi saya percaya mereka (Effendi dan Awang Adek) tidak mempunyai sebarang niat untuk mengelirukan Dewan," kata Ramli ketika menolak usul pembangkang supaya tindakan disiplin dikenakan terhadap mereka.

Ramli berkata, beliau berharap mereka akan memberi penjelasan mengenainya di Dewan Rakyat kemudiannya.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) mengemukakan usul di bawah Perintah Tetap 26 (1)(p) supaya Effendi dan Awang Adek dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen, untuk dikenakan tindakan disiplin.

'Hina Parlimen'

Sambil memetik kenyataan Effendi bahawa Awang Adek telah memberi kenyataan yang tidak tepat di Dewan Rakyat dengan mengumum angka 36.6 peratus, Lim berkata ia menunjukkan timbalan menteri kewangan itu "dengan jelas telah mengelirukan Dewan dan negara'.

Lim juga berhujah bahawa kenyataan Effendi itu adalah sama seperti 'menghina Parlimen'.

"Penjelasan terhadap sebarang kenyataan kerajaan yang dibuat dalam Dewan Rakyat, sepatutnya dibuat dalam Dewan juga, jika tidak ia merupakan kes menghina Parlimen," tegasnya..

Katanya, ia ditambah lagi penjelasan itu dibuat menjelang perhimpunan agung Umno, dan bukannya bertujuan untuk memperjelaskan kekeliruan kenyataan yang dibuat di Parlimen.

Effendi dan Awang Adek tidak menghadiri sidang Dewan hari ini. Berita asal