Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan tiada salahnya bagi Umno memperjuangkan kepentingan Melayu kerana ia adalah sebuah parti berasaskan perkauman.

"Oleh itu, kita tidak perlu meminta maaf pada mana-mana pihak kerana kita adalah parti yang memperjuangkan hak orang Melayu. Komponen Barisan Nasional (BN) tidak perlu tersinggung, sebaliknya perlu menerima segala kritikan dengan hati terbuka kerana semua yang disuarakan di perhimpunan ini adalah suara akar umbi," jelasnya.

Beliau menambah, apa yang dilakukan oleh Pemuda Umno hari ini adalah sama dengan apa yang diperjuangkan oleh parti-parti seperti MCA dan MIC yang memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

"Kita adalah parti memperjuang hak Melayu, parti berasaskan kaum. Dalam konteks Umno, Umno adalah parti untuk Melayu. Seperti MCA dan MIC, mereka tidak akan minta maaf apabila mereka perjuangkan agenda bangsa mereka. Oleh itu sepatutnya tak ada masalah untuk kaum Cina, Melayu dan India menerima bahawa dalam BN wujud parti yang memperjuangkan kaum sendiri," ujarnya.

Bercakap dalam sidang media selepas perhimpunan Pemuda Umno petang ini, Khairy berkata, apa yang disuarakan oleh perwakilan dalam perbahasan hari ini bukan suara Ketua Pemuda atau Naib Ketua Pemuda tetapi rasa tidak puas hati akar umbi orang Melayu.

Mesej jelas

"Sebagai contoh apa yang disuarakan oleh saudara Shahidan dari Pulau Pinang mewakili suara rakyat Pulau Pinang dan tempat-tempat lain. Kita tidak boleh halang mereka luahkan perasaan mereka. Adalah lebih baik kita benarkan mereka luahkan perasaan.

"Saya sebagai Naib Ketua Pemuda kena dengar apa yang mereka luahkan. Ada yang kita terima dan ada yang kita tak terima. Daripada menghalang mereka bersuara, lebih baik kita mencari jalan penyelesaian," ujarnya.

Khairy berharap pemimpin komponen BN dapat menerima kritikan perwakilan Umno dengan semangat BN dan sikap terbuka.

"Kritikan itu dibuat dengan niat ikhlas untuk bangsa Melayu dan Malaysia, untuk membangun dengan saksama dan tiada jurang ketara. Saya percaya apa yang Shahidan cakap cukup penting untuk Tan Sri Dr Koh Tsu Koon. Perlu ada usaha tersusun untuk melihat masalah orang Melayu Pulasu Pinang.

"Mesej ini cukup jelas, jika mesej ini juga tak dapat diterima, saya tak tahu macam mana nak sampaikan lagi mesej tersebut," katanya.

Khairy berkata, jika pemimpin komponen BN merasakan kritikan yang ditujukan kepada mereka tidak adil, mereka perlu terangkan atau tunjukkan apa niat sebenar mereka dalam membangkitkan isu-isu berkenaan.