Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga, penjaga klien AADK dibenar melawat Puspen
Diterbitkan:  Oct 15, 2021 8:35 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Keluarga atau penjaga kini dibenarkan untuk melawat klien (penagih dadah) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara.

AADK dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi lawatan keluarga ini akan memberi ruang dan peluang kepada keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan terapeutik dalam menyokong klien di institusi untuk terus memberi komitmen mengekalkan kepulihan.

“Kebenaran lawatan berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Setiap keluarga atau penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak Puspen bagi mengelakkan kesesakan, melancarkan perkhidmatan AADK dan mengelakkan risiko penularan jangkitan wabak Covid-19,” menurut kenyataan berkenaan.

Berikutan itu, permohonan janji temu itu boleh dibuat menerusi panggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel kepada Pegawai Pemulihan terlibat.

Menurut AADK, lawatan secara walk-in adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Puspen berkaitan atau melayari laman web rasmi AADK di pautan ini. 

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS