mk-logo
Berita
Polis buka 2 kertas siasatan kes sebar berita palsu vaksin Covid-19

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka dua kertas siasatan terhadap individu yang dipercayai antara golongan antivaksin susulan perkongsian berita palsu berhubung pengambilan suntikan vaksin Covid-19 di laman sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata kertas siasatan pertama melibatkan satu klip video yang memaparkan seorang wanita mengaitkan kematian dua orang murid sekolah di Ipoh, Perak dengan pengambilan suntikan vaksin Covid-19.

Menurutnya kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada pengarah pendakwaan negeri dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata kertas siasatan kedua pula membabitkan pemilik akaun Twitter [email protected] yang memuat naik ciapan berhubung kematian 41 orang guru disebabkan suntikan vaksin Covid-19.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“PDRM masih menunggu laporan profiling daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk tindakan selanjutnya,” kata Abd Jalil.

Dia seterusnya menasihatkan prang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan sumber kesahihannya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kementeriannya telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat palsu.

-Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini