Paling Popular
Terkini

Lebih 32,000 kenderaan masuk ke Kelantan menerusi tiga pintu masuk iaitu Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh sejak Khamis sehingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata jumlah itu membabitkan penduduk Kelantan yang berada di luar selain mereka yang datang melancong ke negeri itu.

Menurutnya, berlaku pertambahan kenderaan di beberapa kawasan termasuk di bandar Kota Bharu namun keadaan terkawal dan tidak berlaku kesesakan.

"Hasil pemantauan kita dapati pertambahan kenderaan ini juga menyebabkan pusat-pusat pelancongan di Kelantan kembali meriah.

"Kita dapati orang ramai mula mengunjungi pusat peranginan sekali gus menggalakkan industri pelancongan negeri ini," katanya ketika dihubungi media di Kota Bharu, hari ini.

Shafien berkata polis sentiasa membuat pemantauan di kawasan tumpuan awam bagi memastikan para pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Menasihatkan para pengunjung untuk patuh SOP, dia berkata tindakan akan diambil tanpa kompromi jika berlaku pelanggaran.

"Kita harap masyarakat negeri ini sama-sama bantu dan bertanggungjawab untuk menjaga diri bagi menurunkan kes Covid-19.

"Dengan kelonggaran yang diberi diharap semua lapisan masyarakat memberi kerjasama," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS