Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tetapi bayangannya terus membayangi perhimpunan agung Umno kali ini.

Beliau mungkin sedang mengikuti perhimpunan ini dengan penuh santai di kediamannya di The Mine Resort, Sungai Besi namun beberapa keluarga terdekatnya mewakili beliau di Dewan Merdeka pagi ini bagi meneruskan legasinya dalam Umno.

Beliau diwakili oleh isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anaknya Datuk Marina yang hadir mengiringinya. Dua anak lelakinya, Datuk Mokhzani dan Mirzan duduk di dewan perhimpunan sebagai perwakilan umno bahagian Merbok dan Kubang Pasu.

Walaupun beliau diketepikan sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu dan tidak dapat hadir sebagai jemputan khas akibat masalah kesihatan, legasi dan pengaruhnya masih bermain di kalangan pemerhati dan perwakilan serta pihak media.

Sebaik sahaja tamat ucapan dasar Presiden, Dr Siti Hasmah merupakan orang pertama keluar dari dewan itu bersama Marina dengan diiringi oleh Datin Seri Rosmah Mansor. Kemunculan beliau ditunggu oleh hampir seratus pemberita dan jurugambar.

Beliau diserbu untuk mendapatkan ulasannya tentang ucapan dasar Presiden dan khabar mengenai kesihatan suaminya. Wartawan bersesak dan bertolak-tolak dengan pihak keselamatan untuk merapati beliau tetapi hampa kerana Dr Siti Hasmah enggan mengulas.

Mantan presiden

Sebelum itu ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebut nama Dr Mahathir di hujung ucapannya, tepukan gemuruh diberikan kepada mantan Presiden Umno itu.

Walaupun sepanjang dua hari ini Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri serta para pembahas tidak menyebut secara langsung nama Dr Mahathir namun apabila sekali sekala namanya disebut, tepukan gemuruh memenuhi dewan persidangan.

Ucapan Presiden juga tidak dapat lari dari bayangan Dr Mahathir. Walaupun beliau mencuba seboleh-bolehnya untuk "melupakan" Dr Mahathir namun separuh daripada ucapannya adalah jawapan kepada kritikan-kritikan Dr Mahathir sebelum ini.

Apabila Abdullah menyebut "Ya, benar, Petronas ada wang..." beliau merujuk kepada kritikan Dr Mahathir kepadanya. Beliau juga secara lembut menjawab kritikan mantan Perdana Menteri itu terhadap kelembapan ekonomi dengan menolak pendekatan menarik pelaburan dan usaha merancakkan pasaran saham secara "mi segera".

Abdullah juga tidak dapat mengelak dari menjawab kritikan Dr Mahathir terhadap dasar luarnya apabila beliau menjelaskan: "Kita boleh memilih untuk berkonfrontasi, bersuara lantang dan keras atau memilih cara diplomasi pintar."

Perdana Menteri juga mempertahankan dasar mengurangkan defisit perbelanjaan negara dan konsep Islam hadharinya, yang juga merupakan antara perkara yang dikritik oleh bekas "bos"nya itu.

'Perang senyap'

Presiden Umno itu juga menegaskan perbezaan kaedah pentadbiran akan berlaku berasaskan keadaan semasa dan ia adalah perkara biasa.

"Janganlah kita bertelagah kerana kita berlainan cara dan berbeza gaya. Jangan sumber tenaga, masa dan fikiran kita bazirkan dengan melakukan perkara-perkara yang destruktif yang merugikan semua pihak."

Ungkapan kata-kata Abdullah jelas satu tempelak kepada Dr Mahathir yang mengkjritik gaya kepimpinannya yang dianggap lembab dan kurang berkesan walaupun telah genap tiga tahun.

Seorang wartawan veteran menyifatkan persidangan kali ini satu perang senyap antara dua pihak.

"Kalau nak tahu macam mana sokongan untuk Dr Mahathir, perhatikan isyarat tubuh para perwakilan setiap kali nama bekas Perdana Menteri itu disebut. Dengar bunyi tepukan, gemuruh atau tidak. Dari situ kita boleh tahu apa sebenarnya berlaku," jelasnya.