mk-logo
Berita
Hassan salahkan PH atas kemelut di Melaka
Diterbitkan:  Oct 19, 2021 3:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Seorang ahli parlimen PKR menyalahkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) kerana gagal mengurus krisis politik di Melaka sehingga membawa kepada keadaan yang berlaku sekarang.

Kata Hassan Abdul Karim sejak dari awal krisis Melaka dia tidak bersetuju dengan sikap pemimpin PH di negeri berkenaan.

Malah ahli parlimen Pasir Gudang itu menganggap pemimpin terbabit bersikap oportunis dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan ketidaktentuan yang berlaku mendorong kepada terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

"Saya juga berpandangan PH di peringkat pusat turut gagal menangani krisis ini dengan baik.

"Mereka gagal memberikan panduan dan pimpinan yang betul sehingga apa yang terjadi di Melaka sekarang membawa kepada suatu fiasco kepada PH Melaka dan PH seluruhnya," kata Hassan dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan BN-Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir Melaka selepas PH dijatuhkan tahun lalu runtuh baru-baru ini ekoran langkah empat Adunnya menarik semula sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

https://icf.newscdn.net/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/10/573e9c3f40036336bc522872f93c365f.jpg

Gerakan itu diketuai seorang Adun kanan yang juga bekas ketua menteri dari Umno, Idris Haron.

Langkah Idris dan tiga Adun lain mendorong pembubaran DUN Melaka yang diisyrtiharkan speakernya, Ab Rauf Yusoh, yang juga pengerusi Umno negeri berkenaan.

Ia membawa kepada pilihan raya negeri (PRN) yang dijadual diadakan pada 20 Nov ini.

Setakat ini keempat-empat bekas Adun yang menyokong BN-PN itu kelihatan dekat dengan PH.

Idris serta Adun terbabit turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin selepas DUN Melaka dibubarkan.

Semalam Pengerusi PH Melaka yang juga bekas ketua menteri, Adly Zahari, berkata mereka akan menggunakan jalan perundangan bagi menghalang PRN diadakan.

"PH Melaka akan terus menggunakan ruang perundangan bagi memberi sedikit ruang agar kerajaan yang mempunyai keabsahan majoriti boleh dibentuk dan PRN tidak perlu diadakan," katanya.

Paling Popular
Terkini