Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PKR menyasarkan untuk bertanding 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Halim Bachik berkata sasaran 12 kerusi itu adalah tambahan empat kerusi DUN berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"PKR akan bertanding lapan kawasan DUN yang ditandingi pada PRU 14 dan akan menambah empat lagi kawasan daripada enam DUN yang ditandingi oleh Bersatu pada PRU14.

"PKR mensasarkan lapan kawasan DUN untuk meraih kemenangan pada PRN ini," katanya kepada Malaysiakini.

Enam kerusi yang ditandingi Bersatu ketika bersama PH pada PRU ke-14 adalah Ayer Limau, Lendu, Asahan, Paya Rumput, Telok Mas dan Sungai Rambai.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sasaran PKR pada PRN Melaka yang akan datang.

Kerajaan Melaka tumbang selepas empat Adun mengumumkan hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali dan seluruh kepimpinan kerajaan negeri.

Empat Adun itu ialah Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Susulan itu, Abdul Rauf yang juga pengerusi Umno Melaka dalam sidang media mengumumkan bahawa pembubaran DUN Melaka mendapat persetujuan Yang di-Pertua (YDP) Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan bahawa PRN Melaka diadakan pada 20 November ini dan penamaan calon pada 8 November ini.

Sementara itu, Halim berkata bahawa jentera pilihan raya PKR Melaka telah bersiap bagi menghadapi PRN Melaka.

"Pada asasnya jentera pilihanraya PKR telah lama bersedia bagi menghadapi PRU 15.

"Untuk, menghadapi PRN ini , kami cuma hanya perlu menekan butang hijau sahaja bagi menggerakkan semua jentera pilihanraya di segenap pelusuk negeri Melaka," katanya.

Lihat Komen
ADS