Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu menafikan kritikan yang menuduh mereka berlaku "kurang ajar" kepada Perdana Menteri.

Tuduhan "kurang ajar" terhadap kedua-dua pemimpin itu dibuat oleh seorang perwakilan Pemuda Umno Selangor, Ramli Simbok semalam ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Umno.

Kedua-dua pemimpin parti Komponen Barisan Nasional itu menyatkaan, isu tersebut telah dibesar-besarkan tanpa asas.

Ramli juga turut menuduh Naib Presiden MCA, Ong Tee Keat bersikap "kurang ajar" pada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pagi tadi para wartawan telah mengerumuni Koh dan Samy sebaik sahaja selepas perasmian perhimpunan agung Umno oleh Abdullah.

Katanya, insiden yang dikaitkan dengan perbuatan yang dianggap "kurang ajar" itu telah dibesar-besarkan oleh perwakilan Umno di luar konteks.

Koh merujuk kepada insiden di mana beliau dikatakan bertegang urat mengenai jambatan kedua Pulau Pinang di depan Perdana Menteri baru-baru ini.

"Saya mahu nyatakan yang saya dengan Samy Vellu tidak bertengkar di depan PM bila PM melawat Batu Kawan awal September lalu," ujarnya.

"Kami berbincang tentang penyuraian trafik, tapi anda tahukan macam mana Samy Vellu. Dia agak dramatik...tapi tiada pertengkaran berlaku," tambahnya.

Samy Vellu yang bersetuju dengan penjelasan Koh itu pula berkata, isu itu sebenarnya satu silap faham.

"Saya bersama PM dan Koh membincangkan tentang projek di Pulau Pinang. Kami hanya memberi pendapat kepada Pak Lah," katanya kepada para wartawan.

Sementara itu Koh enggan mengulas tentang isu orang Melayu Pulau Pinang dipinggirkan.

"Isu berkenaan tidak dibangkitkan di perhimpunan ini. Isu ini telahpun dijawab oleh Perdana Menteri. Sistem yang ada akan kekal," katanya.

Ditanya samaada kerajaan negeri akan mengkaji isu tersebut, Koh berkata kerajaan negeri akan menjalankan satu kajian.