Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN sedia tanding tiga penjuru di Melaka
Diterbitkan:  Oct 21, 2021 2:11 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Perikatan Nasional (PN) bersedia berdepan pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya negeri Melaka jika tiada isyarat jelas daripada BN, kata Muhyiddin Yassin.

“Saya sebut kalau tak ada isyarat yang jelas, kita akan teruskan ikut keputusan yang dah dibuat oleh PN Kebangsaan.

“Dan parti-parti Bersatu, PAS, Gerakan juga setuju kalau kita perlu berhadapan dengan tiga penjuru, kita mesti hadapi tiga penjuru,” kata pengerusi PN.

Mengulas lanjut perkara itu, Muhyiddin berkata meskipun PN masih belum memuktamadkan perkara itu, keputusan perlu dibuat dengan kadar segera memandangkan tarikh pengumuman calon begitu hampir, iaitu 8 Nov ini.

“Dalam politik seperti ini, kita hadapi realiti politik… Kalau tanya saya, saya nak berbaik dengan semua orang (parti). Ummah ke perpaduan ummahi tu perkara yang memang biasa kita (PN) alu-alukan.

“Tapi kalau dalam pertimbangan politik dia tak ada sebut perpaduan ummah pun, dia tengok kepentingan dan perpaduan parti masing-masing,” katanya.

Menjawab soalan pemberita, presiden Bersatu itu berkata pertembungan tiga penjuru tidak semestinya akan memberi laluan mudah kepada pembangkang.

“Sebab saya lihat situasi politik Melaka ni, PRN diadakan sebab tindakan pihak yang tak bertanggungjawab yang sebabkan jatuhnya kerajaan.

“Ramai orang Melaka agak marah… sewajarnya dalam pandemik yang baru nak mula selesai, sewajarnya bagilah masa, jangan sibuk fikir soal kuasa hingga menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, empat Adun - Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu), Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik semula sokongan terhadap kerajaan negeri, menyebabkan Sulaiman Md Ali kehilangan majoriti dan membawa kepada terbubarnya DUN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov, manakala 20 Nov untuk hari pengundian. 

Lihat Komen
ADS