Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah kekalkan hukuman mati lelaki bunuh wanita dalam pantang

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas bekas pembantu pengawal keselamatan atas tuduhan membunuh seorang wanita yang sedang berpantang enam tahun lepas.

Rayuan terakhir Mohd Azmirul Shamsuddin, 42, terhadap sabitan membunuh dan hukuman mati itu sebulat suara ditolak oleh panel tiga hakim hari ini.

Panel itu yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat berkata keputusan mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan mensabitkan tertuduh adalah selamat untuk dikekalkan.

“Kami telah mempertimbang isu ini secara teliti berdasarkan bukti serta alasan penghakiman mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan. Dalam fikiran kami, isu utama ialah berkaitan keterangan pakar patologi menurut Seksyen 300 (c) Kanun Keseksaan.

“Memang benar bahawa pakar patologi, Dr Karunakaran Mathiharan (SP14) tidak menyatakan ‘kecederaan tubuh yang dialami si mati adalah mencukupi untuk menyebabkan kematiannya’.

“Bagaimanapun, jawapan kepada soalan pihak pendakwaan mengenai jenis kecederaan, beliau (pakar patologi) berkata dalam istilah tertentu bahawa mangsa akan mati akibat sesak nafas kerana keadaan mangsa dengan mulut disumbat selain tangan dan kaki diikat serta ditinggalkan di bawah timbunan pakaian. Si mati tidak mempunyai peluang untuk terus hidup,” katanya.

Ong berkata berdasarkan semua keadaan itu, mahkamah tidak terpengaruh dengan isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam perayu.

“Oleh itu, rayuan ditolak. Sabitan dan hukuman kekal,” katanya yang bersidang bersama Zaleha Yusof dan Mary Lim Thiam Suan.

Pada 15 Okt 2018, Mohd Azmirul didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Rayuannya di Mahkamah Rayuan pula ditolak pada 22 Okt 2019.

Mohd Azmirul didakwa membunuh Rabiatul Adawiah Abd Aziz, 23, di sebuah apartmen di Sungai Way, Petaling Jaya, pada jam 8.22 malam 4 Mac 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd Azmirul diwakili peguam GC Tan manakala Ng Siew Wee bertugas sebagai timbalan pendakwa raya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS